PUTRA RYFA AYDEN BIN MHD FARIMY SK BANDAR LAGUNA MERBOK
Dashing ‘D’ inovasi yang dinamakan hasil gabungan Dashing bagi menunjukkan attractive & full of confidence dan ‘D’ merupakan akronim bagi Dron.Teknologi pesawat tanpa pemandu atau lebih dikenali sebagai dron telah menjadi semakin popular dalam kalangan masyarakat kerana ia mudah dikendalikan dan selaras dengan revolusi industri 4.0 yang mengutamakan teknologi. Oleh itu, penggunaan dron sebagai alat bantu mengajar telah banyak membantu para pendidik di institut pendidikan untuk menyediakan suasana pembelajaran yang menyeronokkan dengan menggunakan kaedah pengajaran yang menarik dan mudah difahami oleh murid khususnya Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). Kefahaman asas numerasi melibatkan perkara asas dalam matematik yang perlu dikuasai oleh MBPK. Namun begitu, MBPK dilihat sukar untuk menguasai asas numerasi disebabkan kognitif yang lemah disamping ingatan jangka pendek. Isu ini dapat dibantu melalui penggunaan teknologi kerana MBPK masa kini lebih berminat apabila aktiviti pdpc disulamkan dengan teknologi. Projek inovasi yang bertunjangkan teknologi dron ini telah digabungjalinkan menjadi sebuah alat pembelajaran dalam numerasi yang berfokus kepada mengenal arah, mengenal warna, mengenal bentuk dan simbol nombor. Inovasi ini dilengkapi dron, drone pad dan tikar pembelajaran (arah, warna, bentuk dan simbol nombor). Rangkuman alat-alat yang dimasukkan dalam inovasi ini telah melibatkan empat aktiviti bagi membantu MBPK menguasai asas numerasi di samping kemahiran menerbangkan dron. Proses penerbangan drone ini meliputi Aktiviti 1 (menerbangkan dron mngikut arah kiri, kanan, atas, bawah, depan dan belakang), Aktiviti 2 (menerbangkan dron mengikut kad warna yang ditunjukkan oleh guru), Aktiviti 3 (menerbangkan dron mengikut bentuk yang ditunjukkan oleh guru) dan Aktiviti 4 (menerbangkan dron mengikut simbol nombor yang ditunjukkan oleh guru). Kesemua aktiviti ini bukan sahaja membantu dalam akademik malah ianya telah merentas keperluan MBPK khususnya dalam aspek koordinasi mata dan tangan. Penggunaan dron ini juga melibatkan kaedah multisensori iaitu proses rangsangan dan meningkatkan ingatan hasil penggunaan visual, pendengaran, kinestetik dan sentuhan (Dostie et al.,2015). Hasil penilaian inovasi ini telah diterjemahkan kepada MBPK melalui lembaran kerja, senarai semak pemerhatian dan analisis dokumen. Hasil pelaksanaan inovasi ini telah meningkatkan kefahaman murid dalam asas numerasi dan fokus murid terhadap pembelajaran.