MUHAMMAD NURILMAN BIN MUSTAFA KAMAL KOLEJ VOKASIONAL KLANG
Kebersihan kawasan persekitaran seperti di bengkel dan tapak pembinaan perlulah dititikberatkan agar keselamatan dan hasil kerja dapat ditingkatkan. Modul amali Program Teknologi Pembinaan seperti Formwork, Door and Window Installation dan Roofing Installation banyak melibatkan penggunaan komponen logam kecil dan tajam seperti paku, skru dan dawai. Justeru terdapat banyak hazard yang ada di bengkel dan pelajar mengalami kesulitan untuk mengasingkan bahan atau komponen logam kecil dan tajam tersebut melalui kaedah konvensional iaitu dengan menggunakan penyapu dan penyodok. Hal ini menyumbang kepada masalah pembaziran masa, tenaga, bahan dan seterusnya terdedah kepada risiko kecederaan. Justeru pengkaji telah membangunkan produk inovasi Smart Portable Magnetic Tools (PMT) atau ringkasnya SMART PMT berpandukan Model ADDIE. Produk ini direka bentuk menggunakan perisian SketchUp bagi mengatasi permasalahan kajian dengan saiz yang bersesuaian serta dibangunkan daripada bahan kitar semula yang dapat menjimatkan kos. Golongan sasaran bagi produk inovasi ini adalah para pelajar dan pensyarah bidang Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional seluruh Malaysia dan lain-lain institusi TVET yang menawarkan program yang sama serta orang awam yang menjalankan kerja-kerja pembinaan dan ketukangan. Keberkesanan produk diuji melalui kaedah temu bual dan pengumpulan data dengan menggunakan borang soal selidik melalui 'Google Form' terhadap 30 orang responden yang terdiri daripada pelajar Program Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Klang. Maklum balas positif telah diperolehi di mana produk ini didapati berjaya mengatasi masalah kajian dalam memaksimumkan proses pembelajaran amali dan meningkatkan produktiviti kerja serta persekitaran kerja yang kondusif dan selamat.