NUR ANIS AFIFAH BINTI SAIDI KOLEJ VOKASIONAL KUALA BERANG
Projek inovasi ini memperkenalkan HairTreat Tebu, satu formulasi penjagaan rambut berasaskan bahan semula jadi dan konsep produk lestari. Produk ini dibangunkan menggunakan hampas tebu (sugarcane bagasse) dan minyak jojoba sebagai bahan utama, dengan penambahan gel lidah buaya dan minyak pati lavender sebagai bahan sokongan. Hampas tebu yang merupakan sisa pertanian kaya dengan antioksidan serta mineral penting seperti kalsium, magnesium, dan zat besi dipilih kerana potensinya dalam menguatkan akar rambut dan merangsang pertumbuhan rambut. Menurut Pelan Tindakan Biojisim Negara 2023-2030 oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi Malaysia, hampas tebu mengandungi mineral yang bermanfaat untuk kesihatan rambut dan kulit kepala. Penggunaan bahan ini juga menyokong prinsip kelestarian dengan memanfaatkan sumber yang boleh dikitar semula. Minyak jojoba pula dipilih sebagai agen antibakteria dan antimikrob semula jadi yang membantu mengurangkan kelemumur serta mengekalkan kesihatan folikel rambut. Kajian oleh Elmougi et al. (2021) menunjukkan bahawa minyak jojoba mengandungi vitamin E, vitamin B- kompleks, zink, tembaga serta asid lemak penting yang berfungsi sebagai antioksidan, menenangkan kulit kepala, dan merangsang pertumbuhan rambut. Gel lidah buaya digunakan untuk menstabilkan pH kulit kepala dan mengawal pengeluaran minyak berlebihan, manakala minyak pati lavender memberikan kesan aromaterapi yang menenangkan dan meningkatkan pengalaman pengguna. Ekstrak daripada bahan-bahan ini digabungkan menjadi satu formulasi rawatan rambut berasaskan tumbuhan. Ujian awal penggunaan produk ini menunjukkan kesan positif dalam mengurangkan keguguran rambut serta meningkatkan tekstur rambut. HairTreat Tebu berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk rawatan rambut semula jadi yang menyokong amalan mesra alam serta memenuhi keperluan pengguna masa kini