MUHAMMAD UMAR NIYAZ BIN SUHAIRUL RIZAL SEKOLAH RENDAH ISLAM 1
Abstrak : Kajian ini dijalankan untuk menjawab persoalan sama ada gel Aloe vera boleh dijadikan bahan asas dalam penghasilan plastik pembungkus gula-gula yang mesra alam dan boleh terurai secara semula jadi. Hipotesis kajian menyatakan bahawa filem bioplastik berasaskan Aloe vera yang digabungkan dengan bahan tambahan semula jadi seperti gelatin dan gliserin mampu menghasilkan pembungkus gula-gula yang mempunyai ciri fizikal yang sesuai serta dapat terurai dalam tempoh yang singkat. Objektif utama projek ini adalah untuk menghasilkan plastik pembungkus gula-gula daripada bahan semula jadi dan menilai ketahanan serta kebolehan biodegradasi filem yang dihasilkan. Kaedah yang digunakan melibatkan pengekstrakan gel Aloe vera, pencampuran bersama gelatin, gliserin dan sedikit cuka, serta pemanasan campuran tersebut. Campuran kemudiannya dituangkan dalam lapisan nipis di atas dulang dan dikeringkan untuk membentuk filem bioplastik. Untuk menghasilkan warna dan bau yang lebih menarik, pati daun pandan digunakan. Ujian dijalankan terhadap filem ini untuk menilai ketelusan, kelenturan, ketahanan terhadap kelembapan serta kadar pereputan dalam tanah. Hasil analisis menunjukkan filem bioplastik yang dihasilkan adalah cukup fleksibel, sedikit lutsinar dan mampu menahan kelembapan sederhana, sesuai digunakan sebagai pembungkus gula-gula. Filem ini juga berjaya menunjukkan sifat biodegradasi dalam tempoh 15 hingga 30 hari apabila ditanam dalam tanah lembap. Kesimpulannya, kajian ini membuktikan bahawa gel Aloe vera boleh dijadikan bahan asas yang berpotensi dalam penghasilan plastik pembungkus makanan yang mesra alam. Inovasi ini dapat mengurangkan kebergantungan kepada plastik konvensional dan menyokong usaha ke arah kelestarian alam sekitar.
Kata kunci : bioplastik, Aloe vera, mesra alam, terurai, terbiodegradasi