MUHAMMAD HASIF BIN MOHD AMRAN UNIVERSITI PENDIDIKAN SULTAN IDRIS
Kekurangan peralatan dan bahan bantu mengajar (ABM) yang sesuai telah dikenal pasti sebagai cabaran utama dalam penyampaian konsep sistem fertigasi secara praktikal dan interaktif. Ketiadaan ABM yang berkesan bukan sahaja menyukarkan guru dalam menyampaikan topik, tetapi juga boleh menjejaskan kualiti pengajaran dan seterusnya mempengaruhi tahap pemahaman pelajar terhadap topik ini. Oleh itu, kajian ini bertujuan untuk membangunkan dan menilai kebolehgunaan “Soil Moisture Kit with Fertilizer” sebagai ABM dalam topik Reka Bentuk Sistem Fertigasi bagi subjek Reka Bentuk dan Teknologi di Sekolah Menengah Harian. Kajian ini mempunyai tiga objektif utama, iaitu: (i) mengenal pasti keperluan “Soil Moisture Kit with Fertilizer” bagi topik tersebut, (ii) membangunkan kit tersebut, dan (iii) menilai tahap kebolehgunaannya. Metodologi kajian melibatkan penggunaan inventori inversi dan protokol temu bual untuk mendapatkan data. Analisis temu bual dijalankan untuk memahami keperluan serta memastikan kesahan dan keberkesanan ABM yang dibangunkan. Dapatan kajian menunjukkan bahawa temu bual awal berjaya mengenal pasti keperluan guru dan pelajar terhadap ABM ini, manakala temu bual kesahan membantu memperkukuhkan aspek pembangunan dan kebolehgunaan kit tersebut. Kajian juga mendapati bahawa penggunaan “Soil Moisture Kit with Fertilizer” dapat meningkatkan pemahaman pelajar terhadap konsep fertigasi melalui pendekatan praktikal yang interaktif. Sebagai penambahbaikan, modul panduan penggunaan produk perlu dibangunkan untuk memudahkan pengguna. Selain itu, setiap komponen pada produk akhir harus dilabelkan dengan jelas bagi meningkatkan kefungsian dan kemudahan penggunaan. Kajian ini diharapkan dapat memberikan sumbangan yang signifikan dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran topik fertigasi di sekolah menengah.
Kata Kunci: Bahan Bantu Mengajar (BBM); Sistem Fertigasi; Soil Moisture Kit with Fertilizer; Reka Bentuk dan Teknologi; Sekolah Menengah Harian.