JIN894: E-JEJAK MALAYSIA

ALLEYCIA FLORENDCEE HANA ANAK ERNIKA SEKOLAH KEBANGSAAN NANGA PENYARAI

E-JEJAK MALAYSIA

 

E-Jejak Malaysia merupakan satu inovasi dalam pembelajaran sejarah yang dibangunkan bagi mengatasi masalah kurangnya minat murid terhadap subjek Sejarah, khususnya disebabkan kaedah pengajaran yang bersifat konvensional, berpusatkan guru, serta kurang interaktif. Murid juga menghadapi kesukaran untuk memahami fakta sejarah yang kompleks dan mengingati kronologi peristiwa penting. Bagi menangani isu ini, E-Jejak Malaysia diperkenalkan sebagai platform pembelajaran digital yang interaktif dan berpusatkan pelajar. Inovasi ini mengintegrasikan empat komponen utama iaitu Mari Membaca, Mari Menonton, Mari Bermain, dan Mari Menguji. Melalui komponen Mari Membaca, murid disediakan dengan nota ringkas dan komik sejarah yang menarik untuk meningkatkan kefahaman. Komponen Mari Menonton pula menawarkan video dan lagu sejarah yang membantu murid memahami peristiwa secara visual dan auditori. Seterusnya, Mari Bermain menyediakan permainan interaktif bagi mengukuhkan pembelajaran secara santai dan menyeronokkan. Akhir sekali, Mari Menguji memberi peluang kepada murid untuk menilai tahap penguasaan mereka melalui latihan dan kuiz. Pelaksanaan E-Jejak Malaysia menunjukkan peningkatan dalam minat, penglibatan, dan pencapaian murid dalam subjek Sejarah. Pendekatan yang pelbagai ini bukan sahaja membantu murid memahami kandungan dengan lebih mendalam, malah turut meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi menjadi satu kaedah pembelajaran abad ke-21 yang efektif dan relevan dalam pendidikan sejarah di Malaysia.

Kata kunci : Sejarah, Digital, PAK21