YIN777: BIOFILM THERMO RESPONSIF

WAN NURDHIA ARISSA BINTI WAN RAZIEMAN SMK DATO' AHMAD MAHER

Biofilem Thermo Responsif merupakan inovasi bio-plastik mesra alam yang dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti kanji ubi kayu, gliserin, cuka dan pigmen termokromik. Produk ini direka sebagai indikator suhu yang mampu berubah warna apabila terdedah kepada suhu melebihi paras tertentu, sekali gus membantu pengguna memantau keadaan produk dengan lebih efisien. Ia sangat sesuai digunakan dalam pembungkusan makanan atau produk yang sensitif terhadap haba. Permasalahan utama yang dikenal pasti ialah pengguna sukar menentukan sama ada sesuatu produk telah terdedah kepada suhu tinggi yang boleh menjejaskan kualiti, keselamatan serta menyebabkan pembiakan bakteria. Pembungkusan konvensional pula tidak menyediakan petunjuk visual terhadap perubahan suhu ini. Dari segi metodologi, kanji ubi kayu dilarutkan dalam air pada nisbah tertentu sebelum dicampurkan dengan gliserin dan cuka. Campuran tersebut dipanaskan sehingga membentuk gel, kemudian pigmen termokromik ditambah apabila suhu menurun sedikit. Seterusnya, campuran dituangkan ke dalam acuan dan dikeringkan selama 24 hingga 48 jam sebelum diuji pada pelbagai suhu. Hasil kajian menunjukkan bahawa biofilem ini mampu berubah warna dengan jelas apabila mencapai suhu pengaktifan (contohnya sekitar 31°C) serta boleh digunakan berulang kali. Kesimpulannya, Biofilem Thermo Responsif mempunyai potensi tinggi sebagai bahan pembungkusan pintar yang mesra alam, kos efektif dan mampu meningkatkan keselamatan makanan serta mengurangkan kebergantungan terhadap plastik konvensional.