THEH SUE AI SMK HUA LIAN
Pembelajaran Matematik merupakan satu mata pelajaran asas dan utama yang sering menjadi cabaran bagi pelajar. Pembelajaran Matematik memerlukan asas pemahaman yang kukuh terhadap konsep asas Matematik dan keupayaan untuk menyesuaikan aplikasi dengan situasi semasa. Peranan guru adalah sangat penting untuk membolehkan pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran semasa. Isu permasalahan tersebut telah mendorong saya ke arah penghasilan satu inovasi baru iaitu Kaedah CS. Kaedah CS atau dikenali sebagai Kaedah Circle & Square direkabentuk untuk membantu pelajar menguasai kemahiran menentukan matriks songsangan berdasarkan Teori Kecerdasan Pelbagai Howard Gardner, iaitu Kecerdasan Visual-ruang dan Kecerdasan Kinestetik. Inovasi Kaedah CS direkabentuk dengan pembinaan dua alat iaitu Modul CS dan Kad CS. Modul CS merupakan satu set soalan berperingkat yang mengandungi empat bahagian. Manakala, Kad CS dibina daripada bahan kitar semula seperti kotak kasut dan kertas warna. Kad CS telah mula direka sejak tahun lepas dan dimurnikan penggunaannya tahun ini. Kaedah CS memberi tiga impak dalam pengajaran dan pembelajaran pelajar iaitu pertama, minat untuk belajar di kalangan pelajar dapat ditingkatkan kerana Kaedah CS memberi ruang untuk pelajar mengembangkan potensi dalam diri mereka. Kedua, membolehkan pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran berpusatkan murid dan seterusnya melahirkan murid yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik sahaja, malah dari aspek sahsiah diri dan ketiga ialah pelajar berasa lebih yakin untuk menentukan matriks songsangan. Kaedah CS boleh disebar luas kerana ia mudah digunakan, kos pembinaan yang rendah dan kad CS senang disimpan.