YIN458: CALCIGROW - FOOD WASTE TO FUTURE

NURUL AIN ATHIRAH BINTI KAMIL SMK KAMPONG SELAMAT

Peningkatan pembaziran sisa dapur organik seperti kulit telur dan kulit bawang merupakan isu global yang memberi kesan terhadap kelestarian alam sekitar walaupun bahan ini kaya dengan nutrien penting untuk pertumbuhan tumbuhan. Sehubungan itu, kajian ini membangunkan inovasi baja organik berteknologi hijau dikenali sebagai CalciGrow, yang mentransformasikan sisa dapur kepada produk pertanian bernilai tinggi bagi mengurangkan kebergantungan terhadap baja kimia serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 2, SDG 12 dan SDG 15.
Keunikan CalciGrow terletak pada pembangunan formulasi nutrien sinergistik berasaskan gabungan kulit telur dan kulit bawang yang mengandungi makronutrien penting seperti Kalsium (Ca), Kalium (K), Magnesium (Mg) dan Fosforus (P). Kombinasi nutrien ini berfungsi dalam meningkatkan pembentukan dinding sel, mengukuhkan sistem akar, mengoptimumkan penyerapan nutrien serta meningkatkan kesuburan tanah melalui pengaktifan mikrobiom tanah dan pengurangan keasidan tanah. Pendekatan ini mengintegrasikan konsep ekonomi kitaran dan teknologi hijau dalam sektor pertanian moden.
Kajian eksperimen telah dijalankan bagi menilai keberkesanan CalciGrow terhadap pertumbuhan dua jenis tanaman sayuran berdaun iaitu sawi (Brassica juncea) dan salad (Lactuca sativa) melalui perbandingan empat medium penanaman iaitu medium kawalan, medium kulit telur + serbuk kopi, medium kulit telur + serbuk teh serta medium CalciGrow (kulit telur + kulit bawang). Analisis data menunjukkan bahawa penggunaan CalciGrow meningkatkan kadar pertumbuhan awal pokok sawi sebanyak 1.2 cm dalam minggu pertama penanaman. Peningkatan ini menjadi lebih signifikan apabila pokok sawi mencapai ketinggian 17.0 cm pada minggu kelima berbanding medium kawalan yang hanya mencapai 13.3 cm. Bagi tanaman salad (Lactuca sativa), penggunaan CalciGrow turut menunjukkan peningkatan pertumbuhan yang lebih konsisten dari aspek ketinggian pokok, bilangan daun dan saiz daun berbanding medium kawalan, sekali gus membuktikan keberkesanan aplikasi CalciGrow terhadap lebih daripada satu jenis tanaman sayuran berdaun.
Dari aspek kebolehkomersialan, CalciGrow dihasilkan menggunakan bahan mentah yang mudah diperoleh dengan kos pengeluaran rendah iaitu RM5.50 sebungkus. Produk ini direka dalam bentuk kiub mampat yang memudahkan penyimpanan, pengendalian dan penggunaan. Reka bentuk ini membolehkan pelepasan nutrien berlaku secara berperingkat apabila disiram air serta memudahkan pengukuran dos penggunaan dalam pelbagai kaedah penanaman termasuk pertanian bandar, tanaman pasu dan pertanian komersial.
Secara keseluruhannya, inovasi CalciGrow membuktikan bahawa integrasi sisa organik dapur melalui pendekatan STEM dan teknologi hijau mampu menghasilkan baja alternatif berimpak tinggi, berpotensi dikomersialkan serta menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan keselamatan makanan negara