YIN198: Retractable Tool Holder

Darwisy Suffian Bin Sharizan Kolej Vokasional Shah Alam

Projek ini membangunkan satu alatan tambahan bagi menghasilkan benang luar menggunakan mesin larik konvensional dengan lebih mudah dan tepat. Penghasilan benang luar melalui kaedah biasa memerlukan pelarasan kekesot bergabung secara berulang kali serta tahap kemahiran yang tinggi, di samping mengambil masa yang lama dan berisiko menghasilkan kedalaman pic ulir yang tidak seragam. Justeru, projek ini direka khusus untuk membantu pelajar yang kurang berkemahiran, terutamanya pelajar peringkat sijil Program Teknologi Pemesinan Industri, dalam menghasilkan benang luar dengan lebih sistematik dan efisien.

Alatan ini dipasang pada tiang mata alat dan menggunakan mata alat benang jenis High Speed Steel (HSS). Reka bentuknya memberi fokus kepada kemudahan pelarasan kedalaman pic tanpa perlu menggerakkan kekesot bergabung secara berulang kali. Skop projek melibatkan proses mereka bentuk, membangunkan dan menguji alat di bengkel pemesinan industri Kolej Vokasional Shah Alam. Alat ini mampu menghasilkan benang luar bagi bahan berdiameter antara Ø10mm hingga Ø100mm dengan panjang benang antara 30mm hingga 100mm.

Hasil pengujian menunjukkan bahawa alatan ini dapat menjimatkan masa, meningkatkan ketepatan kedalaman pic ulir, serta menghasilkan mutu benang yang setanding dengan kaedah konvensional menggunakan kekesot bergabung. Secara keseluruhannya, projek ini berpotensi menjadi alat bantu pembelajaran yang efektif dalam meningkatkan kemahiran dan keyakinan pelajar dalam kerja-kerja membenang luar menggunakan mesin larik konvensional.