YIN1242: SCIENCE4LIFE

ZULHAIRA LUTHFIAH BINTI ZULKAFLEE KOLEJ VOKASIONAL PERDAGANGAN

Projek SCIENCE4LIFE dibangunkan sebagai satu inovasi pendidikan bagi menangani masalah pelajar yang kurang berminat dan sukar memahami bahan pembelajaran Sains yang panjang dan bersifat teori. Kaedah pembelajaran tradisional seperti nota panjang dan kuliah sering menyebabkan pelajar hilang fokus serta kurang motivasi untuk mengulang kaji. Oleh itu, satu pendekatan yang lebih interaktif, ringkas dan menarik diperlukan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.

Objektif utama projek ini adalah untuk meningkatkan pengalaman pembelajaran pelajar melalui penggunaan kad imbas visual, meningkatkan fokus dan motivasi semasa ulang kaji, serta membantu pelajar membuat ingatan pantas terhadap fakta penting dalam masa yang singkat. Inovasi ini berupa set kad imbas yang menggabungkan elemen visual berwarna di bahagian hadapan seperti gambar bahan saintifik, eksperimen dan ubat-ubatan, manakala bahagian belakang mengandungi penerangan ringkas serta isi penting yang mudah difahami.

Kad imbas ini direka bukan sahaja untuk hafalan, tetapi juga untuk menggalakkan pembelajaran kendiri secara aktif. Reka bentuknya yang ringan dan mudah dibawa membolehkan pelajar mengulang kaji di mana-mana dan pada bila-bila masa. Gabungan visual dan maklumat ringkas menjadikan pembelajaran lebih interaktif, menyeronokkan dan berkesan.

Dari aspek kelestarian dan impak, penggunaan gambar membantu meningkatkan kefahaman dan daya ingatan pelajar dengan lebih cepat. Nota ringkas pula memudahkan ulang kaji kendiri dan penilaian pemahaman. Inovasi ini juga sesuai untuk pelbagai jenis pelajar terutamanya mereka yang cenderung kepada pembelajaran visual.

Dari sudut keusahawanan, kos penghasilan kad imbas adalah rendah dan boleh dihasilkan dalam kuantiti yang banyak tanpa kesukaran. Kandungan berasaskan silibus menjadikannya relevan dan boleh digunakan semula oleh pelajar setiap tahun. Oleh itu, SCIENCE4LIFE mempunyai potensi tinggi untuk dikomersialkan sebagai bahan bantu belajar yang praktikal, efektif dan berimpak tinggi dalam pendidikan Sains.