PR1015: SOSIOEMOSI@SEKOLAH

SUZIYANI MOHAMED FAKULTI PENDIDIKAN, UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

VIC25 | Professional

CR: 0.0000 | 0 Likes | 14 Views | 9 times | LS: 9.0
Like it? | Support them now!

Kemahiran sosioemosi merupakan aspek asas dalam perkembangan holistik murid, termasuk Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK). MBPK sering berhadapan dengan cabaran dalam pengurusan emosi dan interaksi sosial berbanding murid tipikal disebabkan oleh ketidakupayaan yang dihadapi mereka. Penguasaan kemahiran sosioemosi penting bagi membolehkan MBPK menyesuaikan diri secara positif dan berkesan dalam pelbagai situasi sosial. Kegagalan menguasai kemahiran sosioemosi akan menyumbang kepada impak negatif terhadap kesejahteraan psikososial, tingkah laku, dan pencapaian akademik MBPK. Justeru, Modul Sosioemosi@Sekolah telah dibangunkan untuk digunakan sebagai panduan oleh guru dalam menjalankan intervensi sokongan kepada MBPK. Modul ini memberi tumpuan kepada pembangunan tiga komponen utama iaitu kemahiran sosioemosi, komunikasi sosial, dan pengurusan diri yang disepadukan dalam rutin MBPK di sekolah. Proses pembangunan modul ini dilakukan berpandukan Model ADDIE yang melibatkan lima fasa utama iaitu, (i) analisis keperluan, (ii) reka bentuk, (iii) pembangunan, (iv) implementasi dan (v) penilaian. Seramai 100 responden terlibat dalam fasa analisis keperluan yang bertujuan untuk mengenal pasti keperluan pembinaan modul serta cadangan pendekatan, strategi, aktiviti dan komponen yang perlu ada dalam modul. Bagi fasa reka bentuk dan pembangunan, seramai 23 orang profesional pendidikan khas dan 5 orang pakar telah dilantik bagi menilai kandungan modul secara keseluruhan. Maklum balas yang diberikan oleh profesional pendidikan khas dan pakar ini telah digunakan bagi menambahbaik modul. Pada fasa seterusnya, modul ini telah digunakan di sebuah kelas di sebuah pusat intervensi. Dapatan fasa pelaksanaan menunjukkan aspek kebolehgunaan yang positif dan peningkatan penguasaan sosioemosi sebelum dan selepas penggunaan dalam kalangan MBPK. Ini menunjukkan integrasi kemahiran sosioemosi dalam pengajaran harian terbukti menyumbang kepada pembentukan sahsiah, peningkatan kebolehan kendiri, dan pengukuhan interaksi sosial yang lebih berkesan. Modul ini mempunyai nilai tambah dari segi potensi pengkomersialan melalui pelbagai bentuk seperti buku panduan guru, kit pembelajaran, latihan profesional, serta aplikasi digital. Usaha pendaftaran harta intelek sedang dijalankan melalui Universiti Kebangsaan Malaysia dan International Standard Book Number (ISBN) melalui Perpustakaan Negara Malaysia. Secara keseluruhan, modul ini berpotensi menjadi inovasi pendidikan khas yang signifikan dan menyokong dasar pendidikan inklusif negara.