YI208: SQUADRATE BIN

AISYAH AZ-ZAHRA BINTI KHAMARUL ARIFFIN SK KAMPUNG TUN RAZAK

Amalan kitar semula dalam kalangan murid sekolah rendah sering kali berdepan dengan cabaran seperti kurangnya kesedaran, kemudahan yang tidak mesra pengguna, dan sistem pemantauan yang lemah. Justeru, inovasi Squarate Bin telah dibangunkan sebagai satu pendekatan bersepadu untuk meningkatkan keberkesanan amalan kitar semula di peringkat sekolah. Inovasi Squadrate Bin merupakan inovasi yang bertujuan untuk memberi pendidikan berkaitan pengasingan bahan terbuang kepada murid-murid sekolah rendah serta memupuk amalan kitar semula di kalangan murid dan warga sekolah. Inovasi dihasilkan dengan menggunakan 100% bahan terbuang yang terdiri daripada botol-botol minuman terpakai.  Selain itu, inovasi ini dapat memudahkan murid melaksanakan pengasingan bahan kitar semula dan mengamalkan pengurusan bahan buangan yang lebih teratur. Bahan buangan yang telah di asingkan akan di angkut oleh pihak yang bertanggungjawab untuk dikitar semula. Terdapat 3 elemen utama dalam tong-tong sampah inovasi ini yang terdiri daripada plastik, kertas dan tin. Selain itu, inovasi ini juga dilengkapkan dengan teknologi sensor pada penutup bagi memudahkan murid membuang bahan buangan terpakai tanpa perlu membuka penutup pada tong-tong sampah tersebut. Hasil kajian menunjukkan peningkatan ketara dalam jumlah bahan kitar semula yang dikumpulkan, iaitu sebanyak 65% berbanding tempoh sebelumnya. Selain itu, tahap kesedaran murid terhadap amalan kitar semula meningkat secara signifikan berdasarkan dapatan soal selidik. Secara keseluruhan, inovasi Squarate Bin bukan sahaja memperkukuh budaya kitar semula dalam kalangan murid, malah berpotensi untuk diperluas penggunaannya ke sekolah lain sebagai sebahagian daripada program pendidikan alam sekitar yang lebih interaktif dan berimpak tinggi.