HARVEISH A/L THANABALAN PPKI
Inovasi Kit Baca Khas dibangunkan sebagai usaha melestarikan amalan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dalam era pendigitalan, khususnya bagi murid berkeperluan khas yang masih belum menguasai kemahiran membaca. Teras inovasi ini ialah pembangunan laman web interaktif (Google Site) yang menghimpunkan semua topik asas pramembaca dalam bentuk multimedia, termasuk video, kuiz interaktif, audio bimbingan serta lembaran digital yang mesra pengguna. Platform digital ini membolehkan murid mengakses bahan pembelajaran secara kendiri, fleksibel dan berulang kali mengikut keperluan masing-masing. Bagi menyokong keperluan pembelajaran multisensori, Kit Baca Khas turut dilengkapi Big Book dengan tulisan timbul serta penggunaan bahan realia sebagai elemen sentuhan dan pengukuhan kendiri yang selari dengan teori VAK (Visual, Auditori, Kinestetik) yang menekankan gaya pembelajaran berasaskan rangsangan pelbagai deria (Fleming & Mills, 1992). Lebih menarik, inovasi ini turut mengintegrasikan Bahasa Isyarat Kod Tangan Bahasa Malaysia (KTBM) dalam semua topik sebagai unsur Elemen Merentas Kurikulum (EMK) bagi menyokong komunikasi serta penguasaan bahasa murid berkeperluan khas. Sinergi antara medium digital, bahan fizikal dan bahasa isyarat ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan PdP, malah menyediakan pengalaman pembelajaran yang menyeronokkan, inklusif dan berdaya tahan terhadap cabaran digitalisasi pendidikan. Justeru, Kit Baca Khas berperanan sebagai satu inovasi digital-hibrid yang mampu memperkasakan literasi asas murid pendidikan khas, di samping berpotensi dikembangkan sebagai model sumber pembelajaran abad ke-21 yang lestari dan mudah dicapai.
Kata Kunci: Pendidikan Khas, Literasi Digital, Inovasi PdP, VAK, KTBM