NAYLI NASUHA BINTI MOHD RAZALI SMK PELAGAT
Manusia dan plastik bagai tidak boleh dipisahkan kerana ramai bergantung kepada penggunaan barangan plastik dalam kehidupan harian. Dalam sektor pertanian, plastik digunakan secara meluas untuk kegunaan plastik semaian anak pokok dan juga sebagai alas pada tanah untuk mengekalkan kelembapan tanah. Kebanyakkan pengguna tidak mengetahui kesan buruk penggunaan plastik kepada mereka dan alam sekitar. Mereka juga tidak mengetahui plastik mengambil masa yang lama untuk terurai secara semulajadi. Kami pelajar-pelajar SMK Pelagat membuat penyelidikan untuk menggantikan kebergantungan kepada plastik yang diketahui dapat memberi kesan kepada alam sekitar dengan menggunakan bahan kitar semula yang berasal dari polimer semulajadi. Dalam projek penyelidikan inovasi ini, kami cuba untuk mencari bahan yang dapat digunakan bagi menggantikan penggunaan polibeg plastik dalam sektor pertanian. Polimer semula jadi kitar semula akan dijadikan bahan asas dalam pembuatan bekas semaian myGTPot kami. Bahan kitar semula yang digunakan ialah kertas kotak kerana ia merupakan bahan yang sangat mudah diperolehi dan murah. Hasil penyelidikan yang kami jalankan didapati myGTPot yang kami hasilkan dari kertas kotak dapat menggantikan penggunaan polibeg plastik dalam bidang pertanian kerana ia kuat serta tahan lama, ia juga kurang menyerap air dan dapat lupus secara semula jadi dalam masa yang lebih singkat jika dibandingkan dengan polibeg plastik. Kami juga memberi tambah nilai kepada bekas semaian ini dengan cara menambahkan bahan organik serbuk kulit oren yang mengandungi nitrogen untuk pertumbuhan anak benih. Ia juga dapat menghalang bekas semaian ini dari dirosakkan oleh serangga.