Nur Izzati Binti Hassan Kolej Vokasional Batu Pahat
Pembelajaran yang dilaksanakan secara tradisional dan alat bahan bantu mengajar (ABBM) yang konvensional kurang memberi impak kepada keseluruhan pelajar untuk memahami topik yang abstrak dalam mata pelajaran elektronik semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Kekurangan sumber yang interaktif dan menarik mendorong kepada pembangunan e-modul mikropemproses dan mikropengawal berbantukan Augmented Reality (AR). Objektif pembangunan e-modul ini adalah mereka bentuk, membangunkan dan menguji kebolehfungsian e-modul pemprosesan mikropemproses dan mikropengawal berbantukan AR bagi kursus elektronik. E-modul ini dibangunkan berasaskan model ADDIE. Pembangunan e-modul mikropemproses dan mikropengawal berbantukan AR hanya mengaplikasikan empat fasa terawal, iaitu fasa analisis, reka bentuk, pembangunan dan perlaksanaan sahaja. Pada fasa analisis, soal selidik dan semakan silibus telah dijalankan terhadap guru dan pelajar di Kolej Vokasional Batu Pahat. Manakala penerapan pembelajaran secara visual, audio dan kinestatik (VAK) dilakukan pada fasa reka bentuk. E-modul ini dibangunkan menggunakan perisian Canva, Capcut, Unity 2019, Anyflip dan aplikasi AR semasa pembangunan. Akhir sekali, fasa pelaksanaan adalah satu ujilari projek dan diikuti dengan pengesahan kebolehfungsian oleh empat orang pakar bidang pengkhususan elektronik. Hasil dapatan yang diperoleh adalah pembangunan e-modul ini dapat berfungsi dengan baik dan boleh diakses oleh pengguna. Diharapkan pelajar dapat memahami pengisian pembelajaran e-modul pemprosesan mikropemproses dan mikropengawal berbantukan AR melalui penggunaan aplikasi secara kendiri dengan betul tanpa bimbingan guru secara bersemuka. Pembangunan e-modul ini telah memenuhi objektif projek dengan jayanya serta penerapan sistem pembelajaran kendiri dan gaya pembelajaran VAK dapat dilaksanakan oleh pengguna semasa proses pengajaran dan pembelajaran (PdP).