NAZIRA BINTI YUNUS POLITEKNIK SULTAN MIZAN ZAINAL ABIDIN
Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak kes dilaporkan di mana bayi atau kanak-kanak yang tertinggal di dalam kereta. Kejadian ini boleh menyebabkan kematian bayi atau kanak-kanak akibat hipertermia atau strok haba. Punca bagi kejadian ini adalah disebabkan oleh kelalaian di mana ibu bapa terlupa anak mereka sendiri. Sindrom terlupa bayi atau kanak-kanak ini adalah salah satu fenomena di mana ahli neurosains menjelaskan mengapa ibu bapa meninggalkan anak mereka dalam kereta tanpa sengaja. Tujuan projek ini adalah untuk membangunkan peranti mudah alih yang mudah digunakan dan berkesan untuk mengesan bayi atau kanak-kanak yang terperangkap dalam kereta. Peranti ini akan diaktifkan apabila ibu bapa meninggalkan kereta. Apabila terdapat gerakan atau bunyi bayi atau kanak-kanak dikesan, ibu bapa akan menerima panggilan ke telefon pintar mereka untuk memberitahu mereka bahawa bayi atau kanak-kanak mereka masih berada dalam kereta. Komponen yang digunakan dalam projek ini adalah Arduino UNO, Modul GSM, paparan LCD, pengesan gerakan PIR, dan pengesan bunyi. Kesimpulannya, pembangunan peranti ini dapat membantu mengesan bayi atau kanak-kanak yang terkunci dalam kereta, dengan demikian ini dapat mengurangkan kes kematian bayi akibat tertinggal di dalam kereta.