MUHAMMAD IZZAFRAL ZIKRI BIN ZAINAL SK BAGAN SERAI
NUMBRAILLE merupakan inovasi bahan bantu belajar yang dicipta bagi meningkatkan tahap penguasaan murid bagi menguasai kod braille matematik serta kedudukan jari pada mesin braille. Responden kajian terdiri daripada 3 orang murid lelaki berkeperluan pendidikan khas masalah penglihatan 3 PKL GENIUS dari Sekolah Kebangsaan Bagan Serai, Perak. Tinjauan awal terhadap responden mendapati murid sukar untuk mengingati kod braille berserta padanan nombor yang mewakili kod braille dan juga kekeliruan kedudukan jari pada mesin braille. Bagi murid yang mengalami masalah penglihatan, adalah penting bagi mereka untuk mempelajari nombor dalam kod braille dan juga turut mengenali bentuk nombor bagi tulisan cetak. Sebelum menggunakan Numbraille iaitu buku yang mengandungi nombor kod braille dan bentuk nombor timbul serta kedudukan jari pada mesin braille, murid tiada sumber rujukan yang mudah untuk digunakan ketika berada dalam kelas. Jika menggunakan nota tulisan biasa agak sukar bagi murid berkeperluan pendidikan khas masalah penglihatan untuk membaca kod braille matematik. Numbraille yang menggabungkan dua penggunaan nombor dalam satu buku ini telah membantu murid membaca atau menyentuh nombor timbul serta kod braille matematik. Murid juga dapat mengenal pasti kedudukan titik kod braille dengan lebih tepat kerana setiap nombor bagi kod braille adalah berlainan bagi setiap satu selain dapat mengaplikasikan kedudukan jari pada mesin braille dengan tepat.