NUR ADILA BINTI SA'ADAN Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor
Bio-nic Coco Pot adalah bekas semaian organik yang dihasilkan bagi menggantikan polibeg di mana anak pokok yang ditanam boleh terus dipindahkan ke dalam pasu atau ditanam ke tapak penanaman tanpa mengoyak dan membuang plastik tersebut. Produk ini diperbuat daripada sisa buangan ternakan, sisa dapur dan sisa tanaman. Tercetusnya idea inovasi ini adalah kerana terdapat lambakan tinja lembu di Unit Agroindustri Ternakan Ruminan Kolej Vokasional (Pertanian) Chenor yang tidak dikitar semula, kulit telur di dewan makan yang dibuang kerana dilihat tidak boleh digunakan dan lambakan sabut kelapa yang tidak dikitar semula. Penggunaan bahan kitar semula dalam penghasilan bekas semaian organik ini dapat menggantikan penggunaan polibag bagi mengelakkan pencemaran. Kelebihan produk ini adalah tidak mempunyai bahan kimia yang boleh memberi kesan kepada manusia dan alam sekitar memandangkan bekas semaian ini boleh terurai ke dalam tanah secara semulajadi dari semasa ke semasa dalam tempoh sebulan penggunaan. Hasil kajian mendapati, pertumbuhan anak pokok menunjukkan hasil yang baik kerana ia berfungsi dua dalam satu iaitu sebagai bekas semaian dan juga sebagai baja organik yang dapat membekalkan nutrien kepada tanaman. Selain harga yang ekonomik, produk ini mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana ia bersifat mesra alam, sangat mudah dikendalikan oleh pengguna, menjimatkan masa penanaman dan kos pengeluaran yang rendah. Kesimpulannya, Bio-nic Coco Pot mampu memberi impak positif kepada masyarakat, ekonomi dan persekitaran.