PRO386: Trager Bag

Za-imah Binti Ekhwan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Pahang

i3DC25 | Professional (Online)

CR: 0.0938 | 3 Likes | 32 Views | 16 times | LS: 19.3
Like it? | Support them now!

Rantaian rangkaian sejuk adalah sistem untuk mengangkut, mengedar, menerima dan menyimpan produk rangkaian sejuk pada julat suhu ditetapkan bagi mengekalkan potensi produk, bermula dari tempat pembuatannya (pengilang) hingga ke pengguna terakhir (produk digunakan).

Produk rangkaian sejuk yang merangkumi produk seperti ubat-ubatan, vaksin, reagen, produk darah, produk biologik dan bahan ujian kawalan kualiti perlu dipastikan agar berada dalam julat suhu ditetapkan supaya potensi, keberkesanan dan kualiti produk tersebut dapat dikekalkan.

Kadar kehilangan potensi, keberkesanan dan kualiti produk terutamanya vaksin adalah bergantung kepada tiga faktor iaitu suhu, tempoh masa pendedahan dan jangka hayat vaksin tersebut. Oleh yang demikian, penyimpanan vaksin pada julat suhu yang optimum adalah sangat penting sehingga imunisasi diberikan kepada kumpulan sasaran (KKM, 2019). 

 Trager Bag dihasilkan bertujuan untuk memastikan rantaian rangkaian sejuk penyimpanan vaksin daripada stor penyimpanan pejabat kepada ladang dijaga dan dipantau bagi mengekalkan julat suhu optimum penyimpanan vaksin sepanjang program pemvaksinan ternakan dijalankan. Ia berbentuk beg iaitu bekas utk mengisi, menyimpan atau membawa vaksin dan peralatan program yang digunakan semasa pemvaksinan dilapangan. Bahan yang berkualiti tinggi dan berpenebat perlu digunakan dalam memastikan serta mengekalkan suhu berada pada tahap yang optimum.

Permukaan luar Trager Bag yang tahan lasak menggunakan material bahan penebat jenis Polyduratech High Tensile Outer Skin bersama Expended Polyurethane (EPE) Foam dan Polypropylene Corrugated . Material dalaman beg pula menggunakan Aluminium Thermal Insulation Foil yang dapat memastikan suhu berada pada tahap optimum (Gambarajah 1).  Penggunaan termometer digital dengan sensor eksternal yang mempunyai paparan bacaan suhu di luar Trager Bag, digunakan untuk pemantauan suhu dengan lebih efisien kerana ia boleh mengurangkan kekerapan Trager Bag dibuka dan menyebabkan suhu akan meningkat. Pemantauan suhu dilaksanakan bagi memastikan produk rangkaian sejuk berada di dalam julat yang optimum. Trager Bag juga mempunyai tali sandang atau selempang bagi memudahkan pergerakan pegawai mengendali atau membawa dari satu tempat ke tempat yang lain.

Trager Bag mempunya dua (2) kompartmen yang dipisahkan melalui zip iaitu kompartmen kotak sejuk dan kompartmen peralatan program.

Pada kompartmen kotak sejuk, komponen Trager Box beserta Trager Slot digunakan untuk meletakkan vaksin bagi penggunaan program pemvaksinan di lapangan dan ia bersesuaian dengan program yang dirancang.

Trager Box berbentuk segi empat yang boleh dipisahkan menjadi kepingan berjumlah lima (5) keping yang dihasilkan menggunakan teknologi digital percetakan 3 dimensi (3D), mempunyai ruangan yang berisi gel beku di dalamnya bagi tujuan penyejukan pada kotak sejuk. Keadaan ini memudahkan pengguna untuk menyimpan Trager Box di dalam peti sejuk beku sebelum atau selepas digunakan.

Komponen Trager Tray digunakan bagi pengasingan pelbagai saiz botol vaksin supaya tidak berselerak di dalam ruangan penyimpanan vaksin mengikut kepada keperluan program pemvaksinan di lapangan.

Kompartmen peralatan program yang berada dibahagian atas Trager Bag dihasilkan untuk memudahkan penyimpanan barang keperluan program pemvaksinan atau sebagainya semasa program pemvaksinan yang akan dijalankan. Barang-barang seperti Pouch Bag Vaccine, picagari, jarum suntikan atau perkakasan yang lain boleh diletakkan didalam kompartmen tersebut supaya keperluan peralatan dan ubatan yang hendak digunakan semasa program berada di dalam satu beg yang telah lengkap. 

Kesemua kompartmen, material dan komponen yang terdapat pada Trager Bag ini akan berfungsi dalam mengekalkan rantaian rangkaian sejuk dalam ruangan beg dan seterusnya potensi, keberkesanan dan kualiti vaksin dapat dikekalkan supaya ternakan yang divaksin dapat membina pertahanan badan, merangsang sistem imuniti dan mengurangkan risiko jangkitan penyakit.

Saiz Trager Bag yang ergonomik bersesuaian mengikut keperluan pegawai teknikal bagi menjalankan program dilapangan.