VILIVIAN HERMAN KOLEJ VOKASIONAL SANDAKAN
Abstrak ini memperkenalkan Portable Solar Smart Gas Detector Extractor yang direka untuk membantu pengurusan bengkel mengatasi masalah pencemaran udara khususnya di dalam bengkel kimpalan. Pengenalan kepada alat ini ialah untuk merekacipta satu alat yang boleh menyedut dan mengesan asap / gas berbahaya seterusnya dapat menjamin keselamatan dan tahap kesihatan para pelajar vokasional ketika menjalankan amali di bengkel. Pernyataan masalah yang dihadapi ialah tiada sistem penyedut udara yang boleh memberi amaran kepada pengguna di bengkel dan fume extractor yang ada hanya menyedut asap dan dibebaskan ke udara tanpa ada tapisan yang boleh mengurangkan pencemaran di udara. Objektif projek inovasi ini ialah untuk mewujudkan satu alat yang mempunyai sistem teknologi yang boleh memberikan info kepada pengguna tentang tahap peningkatan gas berbahaya yang berlaku semasa menjalankan amali dengan menggunakan konsep teknologi hijau (solar) dan sistem Arduino Gas Sensor. Metodologi projek dibina dengan menggabungkan tiga kemahiran utama iaitu kemahiran mengimpal, kemahiran elektrik, dan kemahiran sains. Aplikasi Portable Solar Gas Extractor Detector dapat digunakan untuk menyedut asap gas dari bengkel kimpalan dan persekitaran kemudian menukarkannya kepada bentuk titisan cecair melalui proses kondensasi dan sekiranya gas berbahaya dikesan, pengguna akan menerima amaran bunyi dan mesej di telefon yang telah dikodkan dalam sistem Arduino yang dipasang dengan sensor MQ2 dan MQ135 yang boleh mengesan gas berbahaya seperti LPG. Hasil dapatan awal, alat ini telah membantu pensyarah kimpalan mengesan gas berbahaya semasa pelajar menjalankan amali dan asap yang disedut dapat ditukarkan kepada titisan cecair. Kesimpulannya, alat ini mempunyai potensi komersial yang tinggi dan boleh dipasarkan dalam pasaran teknologi hijau.