NUR MUHAMMAD BIN HAZMI Kolej Vokasional Bintulu
"Balms Aromatherapy Minda" merupakan satu inovasi yang dihasilkan untuk membantu meningkatkan fokus, mengurangkan tekanan, dan memberi ketenangan minda, terutama bagi pelajar yang menghadapi cabaran akademik dalam kehidupan harian. Tekanan dan keletihan mental sering mengganggu daya tumpuan serta produktiviti pelajar, menyebabkan mereka sukar untuk memahami pelajaran dan mencapai prestasi optimum. Kebanyakan produk di pasaran mengandungi bahan sintetik yang mungkin memberi kesan sampingan dalam jangka panjang seperti alahan, iritasi kulit, atau ketagihan bau buatan. Oleh itu, balm ini diformulasikan menggunakan bahan semula jadi seperti minyak engkabang, madu kelulut, serai wangi, dan peppermint yang mempunyai sifat terapeutik dalam meningkatkan daya fokus dan menenangkan minda. Minyak engkabang berfungsi sebagai pelembap semula jadi yang kaya dengan nutrien untuk kulit. Madu kelulut pula mengandungi antioksidan yang membantu menyokong kesihatan mental dan emosi. Serai wangi memberikan kesan menenangkan yang boleh mengurangkan kebimbangan, manakala peppermint merangsang deria bau untuk meningkatkan kepekaan serta daya fokus seseorang. Selain mudah digunakan, tidak berminyak, dan boleh dibawa ke mana-mana, produk ini selamat untuk semua peringkat umur, termasuk pelajar sekolah, mahasiswa, golongan bekerja, dan juga warga emas yang ingin mendapatkan ketenangan atau mengurangkan tekanan. .Dengan manfaat aromaterapi dan formulasi berasaskan bahan organik, "Balms Aromatherapy Minda" berpotensi menjadi penyelesaian semula jadi yang berkesan untuk meningkatkan kesejahteraan mental, memperbaiki kualiti tidur, serta menyokong gaya hidup sihat dan seimbang dalam kalangan masyarakat masa kini.