YI336: KALKULATOR BMI INTERAKTIF

NUR AMANINA SHAFIAH BINTI SHARIN SMK PETALING

Masalah peningkatan obesiti dan berat badan berlebihan dalam kalangan pelajar sekolah menengah telah menimbulkan kebimbangan terhadap tahap kesedaran kesihatan dan amalan pemakanan. Projek ini bertujuan membangunkan satu inovasi berasaskan Arduino yang membolehkan pelajar mengira Indeks Jisim Badan (BMI) secara automatik melalui input tinggi dan berat badan. Alat ini memaparkan nilai BMI dan kategori kesihatan melalui skrin LCD, buzzer dan indikator LED berwarna serta disertakan saranan senaman dan makanan sihat. Objektif projek adalah untuk mendidik komuniti sekolah mengenai kepentingan mengekalkan berat badan ideal melalui penggunaan teknologi dan pendekatan STEM merentas subjek, termasuk Sains (konsep BMI dan kesihatan), Matematik (pengiraan BMI), Reka Bemtuk Teknologi (Arduino) dan PJPK (senaman dan kesedaran gaya hidup sihat). Kaedah kajian yang digunakan berpandukan Engineering Design Process (EDP) yang merangkumi fasa empati, definisi masalah, pencambahan idea, pembangunan prototaip, ujian serta penambahbaikan. Dapatan menunjukkan 90% pelajar dapat mengenal pasti status BMI mereka dengan tepat dan lebih bermotivasi untuk mengamalkan senaman dan pemakanan sihat selepas menggunakan inovasi ini. Projek ini membuktikan bahawa penggunaan teknologi mudah dalam pendidikan kesihatan mampu meningkatkan literasi kesihatan dan mendorong perubahan tingkah laku yang positif dalam komuniti sekolah. Implikasi kajian menunjukkan potensi inovasi ini untuk diperluaskan ke seluruh sekolah sebagai alat bantu dalam pembelajaran interaktif dan juga program Kesihatan.