MUHAMMAD ZIYAD BIN HISHAMUDDIN Sekolah Kebangsaan Sri Buntar.
Kajian ini meneroka masalah makanan yang dihinggapi lalat menjadi isu kebersihan dan kesihatan yang serius khususnya dalam kalangan murid sekolah. Persoalan kajian yang dibangkitkan ialah, Apakah bahan yang sesuai digunakan untuk menghasilkan pembungkus makanan yang selamat, ringan, mudah dibawa, boleh digunakan semula serta mesra alam?. Hipotesis kajian ini menyatakan bahawa kombinasi kain kapas dan lilin lebah dapat menghasilkan Beewrapz pembungkus makanan yang berkesan menutup makanan daripada lalat, mudah digunakan serta boleh mengurangkan penggunaan plastik sekali guna. Metodologi kajian ini melibatkan lima fasa, kajian awal isu dan bahan, penghasilan produk Beewrapz menggunakan kain kapas dan beeswax, pengujian terhadap keberkesanan Beewrapz dalam situasi sebenar, pengubahsuaian produk berdasarkan maklum balas pengguna dan akhir sekali pembentangan serta dokumentasi hasil kajian. Sebagai tambahan, sedikit minyak pati serai wangi juga dititiskan ke dalam Beewrapz untuk menambah kesan penghalau serangga. Hasil kajian terhadap 20 orang murid menunjukkan 70 % murid sangat suka menggunakan Beewrapz, 20 % suka, 10 % memilih neutral dan 0% tidak suka. Kesimpulannya, Beewrapz telah memenuhi objektif utama projek iaitu menyediakan pembungkus makanan yang kalis air, ringan, mudah dibawa dan boleh digunakan semula. Ia memberi alternatif yang lebih lestari dan menjimatkan berbanding plastik sekali guna.