TEO BOON SIAN SJKC CHUNG HUA UNDOP
Kini, penguasaan tatabahasa bagi topik kata arah dalam bidang Bahasa Melayu sangat diutamakan dalam sistem pendidikan. Ramai murid masih keliru dan sukar untuk menggunakan kata arah dengan betul. Justeru, sebuah inovasi produk digital "Eksplorasi Kata Arah" yang menggunakan aplikasi Minecraft Education telah dicipta untuk membantu murid memahami dan mengenal pasti kata arah mengikut konteks. Pembelajaran ini direka seperti perjalanan dengan empat stesen. Murid mulakan dengan "menaiki roller coaster" ke pintu masuk. Kemudian, di stesen pertama, "Jom Belajar", mereka mempelajari definisi, jenis, dan contoh ayat kata arah. Seterusnya, stesen kedua, "Jom Menonton Video", dan stesen ketiga, "Jom Dengar Lagu", digunakan untuk meningkatkan pemahaman. Akhirnya, di stesen keempat, "Aktiviti Uji Minda dan Aktiviti Bermain", mereka diuji melalui tiga aras berbeza (asas, sederhana, tinggi) untuk menilai penguasaan. Hasilnya, keberkesanan produk ini amat ketara, dengan peningkatan skor ujian daripada 10-30% kepada 100%. Penilaian produk, kepuasan pengguna, dan peningkatan pengetahuan juga menunjukkan purata min yang sangat tinggi (4.88, 4.89, 4.86), membuktikan ia sangat berkesan. Tegasnya, inovasi digital ini berjaya mengatasi masalah penguasaan kata arah dalam kalangan murid.