MUHAMMAD AMMAR HAIQAL BIN HAZUADY SMK SULTAN MANSOR
Kajian ini dijalankan untuk membangunkan produk inovasi Vegan Belacan yang dapat memberikan manfaat dalam PdPC pelajar PVMA Penyediaan dan Pembuatan Makanan. Vegan Belacan merupakan satu produk makanan yang mensasarkan golongan vegetarian untuk menggunakan belacan dalam menu harian. Vegan Belacan diinovasikan daripada belacan yang menggunakan udang kepada belacan vegetarian yang menggunakan tempe sebagai bahan utama bagi golongan vegetarian yang hanya makan sayur dan sumber protein sahaja. Sampel kajian terdiri daripada 20 orang murid dari SMK Sultan Mansor yang terletak di Kuala Terengganu, Terengganu. Pengkaji menggunakan soalselidik secara maya (Google Form) sebagai instrument kajian. Hasil dapatan kajian menunjukkan purata peratusan setuju berada pada tahap tinggi dalam menjawab persoalan tentang tahap pengetahuan murid mengenai tempe (85%), tahap penerimaan murid terhadap penggunaan Vegan Belacan dalam masakan (95%) serta potensi Vegan Belacan dipasarkan (90%). Secara keseluruhan murid dapat menerima Vegan Belacan ini kerana penggunaan Vegan Belacan bagi golongan vegetarian dilihat penting untuk memastikan golongan ini dapat menikmati menu yang dimasak seperti mereka yang bukan vegertarian. Vegan Belacan dilihat berpotensi tinggi di pasaran kerana ia dapat digunakan dalam masakan seperti sambal belacan, pes sambal dan sos pencicah buah-buahan.