NUR QISTINA HADIRAH BINTI ZULFIKAR KOLEJ VOKASIONAL DATO' UNDANG HJ. MUHAMMAD SHARIP
ABSTRAK AMARYLLIS TEA
Esma Nuraqma Binti Esmawady, Nur Awatif Binti Muhammad Zulfadli, Nur Qistina Hadirah Binti Zulfikar, Nurmimie Haziqah Binti Shikh Muhammad Makhdad, Maslina Binti Mauluf
Program Kosmetologi, Jabatan Hospitaliti, Kolej Vokasional Dato’ Undang Haji Muhamad Sharip
Amaryllis Tea merupakan inovasi minuman kesihatan berasaskan pokok pandan yang diformulasikan khas untuk membantu mengatasi masalah keletihan dan kelesuan di kalangan pensyarah dan pelajar. Selain daun pandan sebagai ramuan utama, Amaryllis Tea turut diperkaya dengan goji beri yang terkenal dengan manfaatnya dalam meningkatkan daya ketahanan badan serta melawan radikal bebas. Ia juga mengandungi kurma jujube yang kaya dengan vitamin C, A, B2 serta mineral penting seperti kalsium, fosforus dan zat besi, yang membantu melancarkan sistem penghadaman dan menyokong kesihatan jantung. Objektif penghasilan Amaryllis Tea adalah sebagai minuman kesihatan yang membantu mengatasi kelesuan, badan tidak bermaya dan meningkatkan tenaga pengguna, bebas daripada bahan kimia berbahaya, selamat diamalkan secara harian serta praktikal digunakan. Produk ini sesuai dijadikan sebagai minuman harian kerana menggunakan 100% bahan semula jadi dan bebas daripada bahan kimia berbahaya. Produk ini dihasilkan dalam bentuk uncang teh yang mudah dibawa, hanya perlu direndam dalam air panas untuk penyediaan. Proses penghasilan melibatkan pemilihan bahan berkualiti, pengeringan bersuhu rendah, pengisaran, pencampuran dan pembungkusan kedap udara. Amaryllis Tea bernaung di bawah Program Kosmetologi dan telah mendapat cap dagangan daripada Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), manakala syarikat pengeluar, DUHMS Flawless Beauty Enterprise, berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Inovasi ini berpotensi dikembangkan dalam bentuk teh sejuk atau teh segera serbuk, bagi memenuhi keperluan gaya hidup moden. Produk ini diyakini mampu memberi nilai tambah serta pulangan ekonomi kepada organisasi jika dikomersialkan.
Kata Kunci : Minuman kesihatan, daun pandan, goji beri, kurma jujube, antioksidan, keletihan dan kelesuan, produk semula jadi