MUHAMMAD AMIRUL HAFIZ BIN MOHD KHAIRULNIZAM KOLEJ VOKASIONAL SHAH ALAM
Projek Car Gas Detector (CARGAS) dibangunkan sebagai satu sistem keselamatan pintar bagi mengesan kebocoran gas karbon monoksida (CO) dalam kenderaan. Gas CO adalah gas beracun yang tidak berwarna dan tidak berbau, yang boleh menyebabkan keracunan serius atau kematian jika disedut dalam jumlah yang tinggi tanpa disedari. Masalah utama yang dikenal pasti adalah ketiadaan sistem pengesan dalam kenderaan yang mampu memberikan notifikasi masa nyata kepada pengguna serta maklumat lokasi sekiranya berlaku kebocoran. Oleh itu, objektif utama projek ini adalah untuk membangunkan sistem pengesanan gas yang mampu memberi amaran awal melalui buzzer, menghantar notifikasi ke telefon pintar pengguna melalui Telegram, serta mengesan lokasi kenderaan dengan tepat menggunakan modul GPS NEO-6M. Tambahan pula, sistem ini dilengkapi dengan kamera ESP32-CAM yang membolehkan penghantaran imej dari dalam kenderaan dalam keadaan kecemasan. Kesemua komponen seperti sensor MQ-9, ESP8266, modul GPS dan kamera diintegrasikan bagi membolehkan pemantauan secara berterusan serta tindakan pantas dapat diambil. Sistem ini dibangunkan secara in-house dan diuji dalam simulasi persekitaran sebenardengan hasil yang memuaskan dari segi kecekapan pengesanan dan kelajuan notifikasi. Inovasi ini bukan sahaja mampu meningkatkan kesedaran pengguna terhadap bahaya CO dalam kenderaan, malah berpotensi tinggi untuk dilaksanakan secara meluas dalam industri automotif. Dari segi kos, sistem ini adalah lebih ekonomi berbanding sistem keselamatan berasaskan teknologi tinggi sedia ada. Dengan keberkesanan dalam memberi amaran awal dan menyediakan maklumat penting semasa kecemasan, CARGAS merupakan satu penyelesaian inovatif yang signifikan dalam usaha meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya dan boleh dikembangkan untuk kegunaan komersial serta kolaborasi dengan pihak berkuasa atau industri automotif pada masa akan datang.