PRO1173: MySeRA

IBRAHIM BIN ISMAIL SM TEKNIK TERENGGANU

I3DC24 | Professional (Online)

CR: 0.0000 | 0 Likes | 10 Views | 50 times | LS: 50.0
Like it? | Support them now!

Belakangan ini, pelbagai masalah disiplin tercetus dalam kalangan pelajar sekolah dan memberikan impak yang negatif kepada banyak pihak. Antara masalah disiplin pelajar yang tular di seluruh negara termasuklah vandalisme, buli, membawa telefon bimbit ke sekolah, merokok dan pelbagai lagi. Masalah yang dinyatakan turut berlaku di SM Teknik Terengganu. Kajian telah dibuat dengan  pemerhatian terhadap kerosakan peralatan sekolah terutama di asrama pada awal tahun 2023. Tinjauan mendapati kos terpaksa dikeluarkan untuk membaiki 65 unit pintu tandas asrama, 15 unit pintu bilik asrama, dan 33 unit tandas sekolah yang rosak. Oleh itu, pada akhir Januari 2023, Sekolah Menengah Teknik Terengganu mula merancang Program MySeRA (Sistem e-Rumah dan Akhlak) yang dilancarkan secara rasmi pada 26 Mac 2023.  Program ini merupakan serampang dua mata dalam meningkatkan sahsiah dan akhlak pelajar yang sekali gus dapat memperkasakan potensi akademik pelajar di SM Teknik Terengganu. Menerusi program ini, pembangunan sistem yang dikenali MySeRA mempunyai fungsi merekod, memapar dan menganalisis markah merit dan demerit. Markah merit diberikan kepada pelajar yang menunjukkan perilaku dan pencapaian positif dalam empat komponen utama sekolah, iaitu akademik, hal ehwal murid, kokurikulum dan pengurusan asrama manakala demerit pula diberikan kepada pelajar yang menimbulkan masalah dalam empat komponen berkenaan. Bagi melancarkan pelaksanaan program MySeRA ini, pemberian merit dan demerit adalah berdasarkan rumah sukan masing-masing. Secara tidak langsung persaingan sihat untuk meningkatkan markah merit berjaya dipupuk kerana pelajar sentiasa menjaga tindak tanduk mereka supaya tidak menjejaskan rumah sukan masing-masing. Ganjaran yang disediakan kepada rumah sukan yang mengungguli carta setiap bulan juga menyuntik motivasi pelajar supaya menjaga adab dan akhlak. Jelasnya, Sistem MySeRA yang diperkenalkan oleh SM Teknik Terengganu telah menampakkan hasil yang sangat memberangsangkan.