JI629: DIGISAINS-INOVASI PEMBELAJARAN SAINS BERASASKAN AI

TEOH JIA YI SMJK HUA LIAN

DigiSains merupakan sebuah inovasi digital berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan untuk mengatasi cabaran pembelajaran Sains di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Hua Lian, Taiping. Aplikasi ini menggabungkan AI Tutor interaktif, nota digital berstruktur, video penerangan visual, dan sistem kuiz automatik dengan ranking untuk meningkatkan kefahaman dan motivasi murid. Objektif utama DigiSains adalah untuk menyokong pembelajaran kendiri, memberikan akses kepada bahan pembelajaran komprehensif, dan memudahkan pemantauan prestasi murid oleh guru.

Pelaksanaan DigiSains melibatkan tiga fasa utama: penyelidikan dan reka bentuk (1 minggu), pembangunan aplikasi (2 minggu), serta uji beta dan penambahbaikan (3 minggu). Inovasi ini dibangunkan melalui kolaborasi dalaman guru Sains dan kerjasama luar dengan Persatuan Inventif Bagan Datuk serta penggunaan perisian Jotform. Hasil tinjauan menunjukkan peningkatan signifikan dalam penglibatan murid, dengan 85% mengakses aplikasi sekurang-kurangnya 2 kali seminggu dan 92% melaporkan peningkatan kefahaman melalui AI Tutor dan video interaktif.

Impak DigiSains termasuk peningkatan prestasi akademik murid, pengurangan beban kerja guru sebanyak 30% dalam pemeriksaan, serta pembelajaran yang lebih fleksibel dan mesra pengguna. Inovasi ini selari dengan aspirasi Pendidikan 4.0 dan menyumbang kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital negara. Keberkesanan DigiSains membuktikan potensi integrasi AI dan gamifikasi dalam transformasi pendidikan sains.

Kata Kunci: Pembelajaran berasaskan AI, gamifikasi, pendidikan STEM, inovasi digital, pembelajaran kendiri.