MUHAMAD SYAHIR HAKIM BIN AHMAD FAUZIE SMK SUNGAI LAYAR
Projek inovasi ini bertujuan untuk menghasilkan penghalau serangga (repellent) berasaskan bahan organik menggunakan ekstrak daun pudina (Mentha spicata) sebagai bahan utama. Daun pudina dikenali kerana aroma kuat dan kandungan minyak atsiri seperti menthol yang mempunyai sifat penghalau semula jadi terhadap serangga seperti nyamuk dan lalat. Dalam kajian ini, daun pudina diekstrak melalui kaedah pengisaran dan direka menjadi formulasi semburan organik tanpa bahan kimia sintetik. Ujian keberkesanan telah dijalankan ke atas beberapa jenis serangga di tapak Penanaman Pertanian sekolah dan pokoksayuran yang ditanam di kediaman untuk menilai keberkesanan repellent ini. Hasil kajian menunjukkan bahawa formulasi ini mampu menolak serangga dengan keberkesanan yang tinggi sehingga beberapa jam selepas aplikasi. Inovasi ini bukan sahaja mesra alam dan selamat digunakan oleh manusia, tetapi juga memberi alternatif kepada penggunaan racun serangga kimia yang boleh memudaratkan kesihatan dan alam sekitar. Projek ini berpotensi untuk dikomersialkan sebagai produk hijau yang menyokong kelestarian dan keselamatan pengguna.