MUHAMMAD HANEEF BIN MOHD FAZLIZAR KOLEJ VOKASIONAL PERTANIAN CHENOR
Agronic Block merupakan inovasi hijau berasaskan bioteknologi yang mengintegrasikan penggunaan bebola lumpur mikrob (mudball) dengan blok agro lestari untuk dua tujuan utama iaitu pemulihan sumber air dan sokongan kepada pertanian mampan. Blok organik yang dihasilkan ini mengandungi campuran tanah liat, tinja lembu, serbuk arang, molasses dan larutan mikroorganisma efektif (EM) yang berfungsi untuk mengurangkan bahan pencemar seperti ammonia nitrogen (AN), permintaan oksigen biokimia (BOD), dan permintaan oksigen kimia (COD) dalam air tercemar. Dalam masa yang sama, Agronic Block boleh digunapakai sebagai medium pertumbuhan tanaman yang dapat menyimpan air dan memelihara koloni EM untuk kegunaan jangka masa panjang. Kajian awal menunjukkan penggunaan blok organik dalam satu sistem rawatan air memberikan penurunan pencemaran yang ketara dalam tempoh 28 hari. Selain sebagai agen rawatan air, blok organik pelbagai guna ini juga dapat digunakan sebagai komponen pembaikpulih tanah iaitu sebagai baja semula jadi serta penyerap bau. Hasilnya, Agronic Block berpotensi sebagai penyelesaian mesra alam untuk pengurusan air dan pertanian yang lestari.