YIN1141: SMART INSTALLATION FRAME 3.0

FAIQA EILIYAH BINTI FAIZAL EFFANDI KOLEJ VOKASIONAL AMPANGAN

Peredaran teknologi dalam industri pembinaan masih belum banyak mengubah kaedah konvensional pemasangan kerangka pintu dan tingkap yang digunakan secara meluas di tapak bina. Kaedah konvensional ini memerlukan tenaga kerja yang ramai, mengambil masa yang lama serta menghasilkan kadar bahan buangan yang tinggi seperti kayu dan paku, sekali gus meningkatkan kos dan menjejaskan kualiti kerja. Masalah ini turut memberi kesan kepada proses pengajaran dan pembelajaran di institusi latihan kemahiran awam mahupun swasta yang masih menggunakan kaedah konvensional dalam kursus pemasangan kerangka pintu. Justeru, inovasi Smart Installation Frame 3.0 dibangunkan sebagai penyelesaian berteknologi moden bagi meningkatkan kecekapan, keselamatan dan ketepatan kerja pemasangan kerangka pintu melalui reka bentuk yang mudah alih, fleksibel serta boleh dikendalikan oleh individu tanpa bantuan tambahan. Objektif utama inovasi ini ialah memudahkan kerja pemasangan, mengurangkan bahan buangan, menjimatkan kos dan mempertingkatkan kaedah pengajaran serta pembelajaran pelajar dan pensyarah dalam bidang teknologi pembinaan. Kajian dilaksanakan melalui pendekatan reka bentuk kejuruteraan melibatkan pembangunan idea, lakaran reka bentuk, pembinaan prototaip, ujian kebolehfungsian dan analisis maklum balas pengguna. Hasil kajian di Kolej Vokasional Ampangan serta beberapa institusi latihan kemahiran lain mendapati 95% responden bersetuju bahawa inovasi ini berjaya mengurangkan pembuangan sisa bahan binaan, manakala 99% menyatakan kerja pemasangan dapat dilaksanakan secara individu dengan lebih cepat, tepat dan selamat. Inovasi ini juga meningkatkan kecekapan kerja, mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja ramai dan menyokong konsep kelestarian industri binaan melalui pengurangan sisa bahan serta penggunaan semula struktur. Dari segi kebolehulangan dan replikasi, reka bentuk Smart Installation Frame 3.0 boleh diubah suai mengikut jenis dan saiz kerangka pintu yang berbeza, menjadikannya fleksibel untuk pelbagai kegunaan. Dengan kos pembangunan yang rendah sebanyak RM202.10, inovasi ini berdaya saing, efisien dan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan dalam industri pembinaan serta digunakan secara meluas sebagai alat bantu mengajar di institusi Latihan kemahiran di seluruh negara. Secara keseluruhannya, Smart Installation Frame 3.0 bukan sahaja memperkenalkan pendekatan moden dalam pemasangan kerangka pintu, malah memperkasa sistem pendidikan teknikal dan vokasional melalui integrasi teknologi, kreativiti dan keberkesanan kerja yang menyeluruh. Inovasi ini diharap mampu menjadi model terbaik penerapan teknologi pintar, keberkesanan kerja dan pendidikan lestari dalam bidang pembinaan di peringkat antarabangsa.