IZZ SYUHADAH BINTI MOHD SYAFIQ LUQMAN SMK GUDANG RASAU
Projek inovasi ini dibangunkan bagi menangani masalah kasut sekolah yang mudah basah ketika cuaca hujan serta semasa aktiviti Pendidikan Jasmani di padang yang lembap. Keadaan ini bukan sahaja menyebabkan ketidakselesaan kepada pelajar, malah boleh mengganggu fokus pembelajaran serta meningkatkan risiko kesihatan seperti kaki berbau dan jangkitan kulat. Oleh itu, satu inovasi yang dikenali sebagai SEGRA Hydrostep telah dihasilkan sebagai penyelesaian alternatif yang praktikal dan berkesan.
SEGRA Hydrostep merupakan bahan salutan kalis air yang diformulasikan menggunakan campuran lilin, minyak dan etanol melalui kaedah pemanasan double boil. Campuran ini menghasilkan lapisan hidrofobik pada permukaan fabrik kasut yang berfungsi menghalang penyerapan air. Produk ini diaplikasikan dengan cara menggosok (gelek) pada permukaan kasut bagi memastikan penyerapan yang optimum. Selain itu, Hydrostep turut ditambah dengan pewarna hitam bagi meningkatkan fungsi estetik dan bertindak sebagai pengilat kasut seperti kiwi.
Hasil pengujian menunjukkan bahawa kawasan fabrik yang dirawat dengan SEGRA Hydrostep berjaya menghalang kemasukan air secara efektif berbanding kawasan tanpa rawatan. Produk ini juga mudah digunakan, kos efektif serta sesuai untuk kegunaan harian pelajar. Secara keseluruhannya, inovasi ini berpotensi untuk meningkatkan keselesaan dan kebersihan kasut sekolah serta memberi nilai tambah dalam penjagaan kasut.