AZIZUL IQBAL BIN SAIFUDIN KOLEJ VOKASIONAL KEMAMAN
PEMBANGUNAN “MINI CHILLER” MUDAH ALIH UNTUK PENGGUNAAN LUAR
Azizul Iqbal Bin Saifudin, Muhammad Aidil Hafiz Bin Adenan, Nuruljannah Husna Binti Zunardi, Noorul Hudda Binti Ahmad Mustaman, Nur Azwani Binti Mohd Zura
Kolej Vokasional Kemaman
Abstrak
Projek ini bertujuan untuk mereka bentuk dan membangunkan sebuah mini chiller mudah alih bagi kegunaan luar seperti aktiviti berkelah, berkhemah, pasar malam dan kerja lapangan. Sistem penyejukan konvensional didapati kurang praktikal untuk digunakan di kawasan luar kerana bersaiz besar, berat serta memerlukan sumber kuasa tetap. Oleh itu, mini chiller ini dibangunkan sebagai satu alternatif yang lebih ringkas, ringan dan menjimatkan tenaga. Sistem ini menggunakan modul termoelektrik (Peltier) sebagai komponen utama penyejukan dan dilengkapi dengan heatsink, kipas, thermostat serta bekalan kuasa bagi memastikan proses penyejukan berlaku dengan stabil. Reka bentuk prototaip memberi penekanan kepada aspek mobiliti, keselamatan, susun atur komponen yang kemas serta penggunaan bahan penebat seperti polyfoam untuk mengurangkan kehilangan haba. Pengujian suhu telah dijalankan bagi menilai prestasi sistem dalam menurunkan dan mengekalkan suhu. Hasil ujian menunjukkan suhu berjaya diturunkan daripada 26.7°C kepada 13.5°C dalam tempoh lima jam. Mini chiller ini mempunyai berat keseluruhan 2.8 kg, menjadikannya mudah dibawa dan sesuai digunakan di pelbagai lokasi luar. Secara keseluruhannya, projek ini berjaya mencapai objektif yang ditetapkan iaitu menghasilkan sistem penyejukan berskala kecil yang praktikal, mudah alih dan berfungsi dengan baik. Projek ini juga berpotensi untuk ditambah baik melalui integrasi sistem kawalan automatik dan penggunaan tenaga solar pada masa hadapan.
Kata Kunci: Mini chiller, termoelektrik Peltier, penyejukan mudah alih, kawalan suhu, kecekapan tenaga