YIN638: ECOGREASE BAR

PUTRI AZWA SAFRINA BINTI ZAINI SMK DATO' AHMAD MAHER

Pembuangan minyak masak terpakai merupakan isu global yang memberi kesan negatif kepada alam sekitar dan kesihatan manusia kerana ia mengandungi bahan berbahaya seperti logam berat dan bahan karsinogenik. Pembuangan minyak secara tidak terkawal boleh mencemarkan ekosistem serta menyebabkan saluran paip tersumbat. Oleh itu, projek ini dijalankan bagi menghasilkan satu inovasi iaitu sabun daripada minyak terpakai sebagai alternatif pengurusan sisa minyak yang lebih mesra alam. Objektif kajian ini adalah untuk menghasilkan sabun yang mudah disimpan, tahan lebih lama serta boleh digunakan sebagai bahan pembersih harian. Kaedah penghasilan sabun ini melibatkan proses penapisan minyak terpakai, pemanasan minyak, dan pencampuran dengan larutan asas sabun (lye). Minyak pati dan pewarna makanan boleh ditambah sebagai bahan pilihan sebelum campuran tersebut dituangkan ke dalam acuan dan dibiarkan pada suhu bilik sehingga mengeras. Hasil kajian menunjukkan sabun yang dihasilkan boleh digunakan sebagai sabun pencuci pinggan serta pembersih pelbagai permukaan di rumah. Inovasi ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar tetapi juga memanfaatkan semula sisa minyak kepada produk yang berguna dan mesra alam.

KATA KUNCI: Minyak masak terpakai, sabun kitar semula