YIN401: APLIKASI METAVERSE AR MAGNETDUINO DALAM PENDIDIKAN ELEKTRONIK

ISKANDAR AARON BIN ZULKIFLI SMK ABDUL RAHIM

Pendidikan merupakan elemen paling penting untuk dewasa mahupun kanak-kanak. Pengintegrasian digital semakin pesat digunakan di seluruh dunia disebabkan oleh perubahan zaman yang berteknologi tinggi. Terdapat beberapa pelan yang telah diperkenalkan dalam era pendidikan yang berteknologi tinggi seperti Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, MADANI, dan Dasar Pendidikan Digital. Hal ini menyebabkan perubahan kurikulum yang baharu untuk selarikan dengan perubahan zaman. Mata Pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) telah menggantikan mata pelajaran Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB) pada tahun 2017. Hal demikian menyebabkan banyak cabaran yang dihadapi oleh guru dan murid dalam mata pelajaran RBT terutamanya dalam topik Reka Bentuk Elektronik. Salah satu cabaran dalam topik Reka Bentuk Elektronik adalah penggunaan kemahiran visualisasi dalam kalangan murid kurang diterapkan di mana sesetengah murid tidak dapat membayangkan penyambungan antara peranti elektronik dan mikropengawal. Kajian lepas juga telah menyatakan bahawa guru kekurangan masa untuk membimbing murid bagi menyiapkan projek elektronik. Hal ini menunjukkan bahawa pembelajaran menggunakan teknologi Metaverse seperti Augmented Reality (AR) haruslah diterapkan dalam RBT bagi mengelakkan isu tersebut. Objektif kajian ini adalah untuk menguji keberkesanan pembelajaran menggunakan teknologi Metaverse bagi topik Reka Bentuk Elektronik dalam mata pelajaran RBT di sekolah menengah. Kajian ini dilakukan secara kuantitatif dengan mengintegrasikan Model ADDIE melalui instrumen ujian. Kajian tersebut dilakukan secara kuasi-eksperimental iaitu menggunakan kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Kumpulan rawatan akan mengintegariskan pembelajaran menggunakan teknologi Metaverse manakala kumpulan kawalan akan menggunakan pembelajaran konvensional. Data kajian dianalisis melalui SPSS versi 27 iaitu menggunakan t-test. Dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat perubahan min markah ujian yang signifikan dalam ujian pasca di antara kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan (p<0.05). Kedua-dua kumpulan mempunyai peningkatan dalam ujian pasca daripada ujian pra. Namun begitu, penilaian min markah ujian dalam kumpulan rawatan (M=13.57) lebih tinggi berbanding kumpulan kawalan (M=10.50). Hal ini menunjukkan bahawa pembelajaran menggunakan teknologi Metaverse dapat memberikan impak yang tinggi bagi topik Reka Bentuk Elektronik dalam mata pelajaran RBT. Salah satu impak kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) adalah KPM dapat mengintegrasikan pembelajaran menggunakan teknologi Metaverse iaitu selari dengan tiga pelan pendidikan Malaysia berkaitan digital. Selain itu, KPM juga dapat melahirkan guru yang berinovasi dalam membangunkan sesuatu produk yang berdigital tinggi untuk digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memenuhi keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) terhadap murid. Akhir sekali, KPM dapat meningkatkan lagi prestasi akademik murid bagi melahirkan insan muda yang berkualiti tinggi dan pemikiran kritis.