MUHAMMAD HAZIQ HAKIM BIN HAMDAN KOLEJ VOKASIONAL TAIPING
VENTINOVA merupakan satu inovasi bahan binaan berasaskan konsep kelestarian alam yang direka khusus sebagai blok pemisah mesra alam, menggunakan dua sisa utama industri iaitu enapcemar loji rawatan air bersih dan bata dari sisa bengkel. Inisiatif ini dicetuskan berikutan keperluan mendesak dalam menangani masalah lambakan sisa pepejal industri yang semakin kritikal di Malaysia. Melalui pendekatan teknologi hijau dan prinsip ekonomi kitaran, VENTINOVA dibangunkan sebagai alternatif kepada panel pemisah konvensional yang lazimnya menggunakan bahan berasaskan simen, batu dan kayu asli, yang menyumbang kepada pengurangan sumber alam semula jadi serta peningkatan jejak karbon.
Penghasilan VENTIINOVA adalah selari dengan aspirasi kerajaan dalam menggalakkan pengurusan sisa sifar dan pembinaan mampan untuk pembangunan negara. Enapcemar dari Loji Rawatan Air dikenal pasti sebagai bahan buangan yang belum diurus secara sistematik dan efisien. Pada masa sama, peningkatan sisa bata yang terhasil daripada aktiviti latihan amali pelajar di Bengkel bata Kolej Vokasional Taiping menambahkan lagi beban pengurusan sisa di institusi pendidikan Kolej Vokasional seluruh Malaysia. Melalui projek ini, kedua-dua bahan buangan tersebut dikaji, diproses dan digabungkan bagi menghasilkan satu produk pembinaan baharu yang ringan, kuat, mudah dipasang, tahan lama dan mesra alam.
Produk VENTINOVA bukan sahaja menyelesaikan isu pelupusan sisa industri secara lestari, malah memperkenalkan dimensi baharu dalam penghasilan bahan binaan yang lebih mesra pengguna dan sesuai diaplikasikan dalam struktur luaran produk lanskap. Selain daripada memberi manfaat alam sekitar, inovasi ini juga membuka potensi kepada penjimatan kos, penciptaan peluang pekerjaan hijau, dan penghasilan produk tempatan yang berdaya saing di pasaran.
Secara keseluruhannya, VENTIINOVA memperlihatkan potensi besar dalam mengangkat sisa buangan sebagai sumber berharga, memperkukuh daya saing industri pembinaan tempatan dan menyokong transformasi ke arah pembangunan lestari dan rendah karbon. Inovasi ini menjadi bukti bahawa penyelesaian kepada masalah alam sekitar boleh dicapai melalui pendekatan saintifik, teknikal dan kreatif yang berpaksikan kepada tanggungjawab sosial dan kelestarian sejagat.