YIN1127: EASY CLEANING TOOL

MUHAMMAD ZAQUAN ARIQ BIN MOHD ADHA ARIZA KOLEJ VOKASIONAL AMPANGAN

Easy Cleaning Tool ialah satu produk inovasi yang direka bentuk untuk membantu dan memudahkan proses pembersihan peralatan bengkel selepas aktiviti amali di Kolej Vokasional Ampangan. Inovasi ini tercetus hasil pemerhatian terhadap masalah sikap pelajar yang sering mengabaikan kerja pembersihan disebabkan keletihan selepas melaksanakan tugasan praktikal. Situasi ini menyebabkan peralatan bengkel tidak dibersihkan dengan sempurna, seterusnya menjejaskan disiplin, keselamatan serta jangka hayat peralatan. Inovasi ini diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut melalui penghasilan satu alat pembersihan bersepadu yang mudah digunakan, efisien dan menjimatkan masa. Objektif utama inovasi ini ialah meningkatkan kecekapan kerja pembersihan, memupuk sikap bertanggungjawab serta mengurangkan risiko kerosakan peralatan bengkel. Reka bentuk Easy Cleaning Tool dilaksanakan menggunakan perisian AutoCAD untuk menghasilkan lakaran 3D bagi memastikan struktur dan fungsi alat dapat dilihat dengan jelas. Komponen utama terdiri daripada paip PVC, berus sabut, bekas simpanan air dan sambungan adapter yang berfungsi menyalurkan air secara terkawal. Kos keseluruhan penghasilan produk adalah rendah dan bahan digunakan mudah diperoleh serta tahan lama. Kajian keberkesanan dijalankan melibatkan pelajar dan pensyarah Program Teknologi Pembinaan bagi menilai kefungsian, reka bentuk, ketahanan serta kebolehpasaran produk. Dapatan menunjukkan tahap kepuasan pengguna berada pada skala tinggi, dengan purata penilaian melebihi 96%. Inovasi ini terbukti meningkatkan kelancaran kerja pembersihan serta menjimatkan masa berbanding kaedah konvensional. Selain itu, pengguna dapat mengasingkan sisa binaan seperti mortar dan simen sebelum dibuang, sekali gus mengurangkan pencemaran persekitaran bengkel. Easy Cleaning Tool berpotensi tinggi untuk diperluas penggunaannya dalam institusi latihan kemahiran dan industri pembinaan. Keberkesanannya bukan sahaja terletak pada keupayaan membersihkan peralatan dengan cepat dan efisien, tetapi juga dalam membentuk budaya kerja yang lebih berdisiplin, bersih serta selamat. Kesimpulannya, inovasi ini memberikan impak positif dari segi produktiviti, kelestarian alam sekitar dan nilai pendidikan, serta berpotensi dikomersialkan sebagai alat bantu pembersihan serbaguna dalam bidang teknikal dan vokasional.