YIN805: ECONOVACOAT CAT MESRA ALAM

FATIN DANIA UMAIRAH BINTI SHAMSUL AZIZI KOLEJ VOKASIONAL TAIPING

ECOVOVACOAT merupakan satu inovasi bahan binaan berasaskan konsep kelestarian alam yang direka khusus sebagai cat mesra alam, menggunakan tiga sisa utama iaitu sisa industri  enapcemar loji rawatan air bersih, sisa pertanian sekam padi dan sisa bengkel bata tanah liat. Inisiatif ini dicetuskan berikutan keperluan mendesak dalam menangani masalah lambakan sisa pepejal industri yang semakin kritikal di Malaysia. Melalui pendekatan teknologi hijau dan prinsip ekonomi kitaran, ECONOVACOAT dibangunkan sebagai alternatif kepada cat semulajadi yang lazimnya menggunakan bahan bahan kimia yang menyumbang kepada alam sekitar serta peningkatan jejak karbon.

 

Penghasilan ECONOVACOAT adalah selari dengan aspirasi kerajaan dalam menggalakkan pengurusan sisa sifar dan pembinaan mampan untuk pembangunan negara. Enapcemar dari Loji Rawatan Air Kampung Senawar, Kuala Kangsar dipilih dan dikenal pasti sebagai bahan buangan yang belum diurus secara sistematik dan efisien. Pada masa sama, peningkatan kuantiti habuk bata yang terhasil daripada aktiviti latihan amali pelajar di Bengkel bata Kolej Vokasional Taiping menambahkan lagi beban pengurusan sisa di institusi pendidikan Kolej Vokasional seluruh Malaysia dan juga sisa pertanian sekam padi. Melalui projek ini, ketiga-tiga bahan buangan tersebut dikaji, diproses dan digabungkan bagi menghasilkan satu produk pembinaan baharu yang selamat, tahan lama dan mesra alam.

 

Produk ECOVOVACOAT bukan sahaja menyelesaikan isu pelupusan sisa industri, sisa pertanian dan sisa bengkel secara lestari, malah memperkenalkan dimensi baharu dalam penghasilan bahan binaan  yang lebih mesra pengguna dan sesuai diaplikasikan dalam struktur dalaman bangunan seperti ruang pejabat, sekolah, hospital, dan bangunan modular. Selain daripada memberi manfaat alam sekitar, inovasi ini juga membuka potensi kepada penjimatan kos, penciptaan peluang pekerjaan hijau, dan penghasilan produk tempatan yang berdaya saing di pasaran.

 

Secara keseluruhannya, ECONOVACOAT memperlihatkan potensi besar dalam mengangkat sisa buangan sebagai sumber berharga, memperkukuh daya saing industri pembinaan tempatan dan menyokong transformasi ke arah pembangunan lestari dan rendah karbon. Inovasi ini menjadi bukti bahawa penyelesaian kepada masalah alam sekitar boleh dicapai melalui pendekatan saintifik, teknikal dan kreatif yang berpaksikan kepada tanggungjawab sosial dan kelestarian sejagat.