KVN354: Calming Tea

Mohamad Helmey Bin Che Hashim KOLEJ VOKASIONAL KUCHING

i3DC26 | Tertiary (Online)

CR: 0.0000 | 0 Likes | 8 Views | 1 times | LS: 1.0
Like it? | Support them now!

Isu kesihatan mental semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023, seramai satu juta atau 4.6 peratus penduduk Malaysia berusia 15 tahun ke atas mengalami kemurungan, dengan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019. Golongan berusia 16 hingga 29 tahun dilaporkan paling ramai terkesan, manakala masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak turut meningkat daripada 7.9 peratus pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus pada tahun 2023. Situasi ini menunjukkan keperluan kepada pendekatan alternatif yang mudah, semula jadi dan selamat bagi membantu mengurangkan tekanan emosi dalam kehidupan seharian.

Sehubungan itu, inovasi “Calming Tea” dibangunkan sebagai minuman herba semula jadi yang berfungsi membantu menenangkan minda dan mengurangkan tekanan perasaan. Produk ini dihasilkan dengan memanfaatkan gabungan herba tempatan seperti misai kucing, daun pudina dan daun pandan yang mempunyai khasiat kesihatan serta sifat menenangkan. Penghasilan teh ini bertujuan membantu individu mengurus tekanan emosi ketika berada di tempat kerja, kolej mahupun di sekolah. Kumpulan sasaran bagi inovasi ini meliputi semua lapisan masyarakat yang memerlukan minuman kesihatan bagi menyokong kesejahteraan mental dan fizikal.

Hasil kajian menunjukkan bahawa Calming Tea mengandungi antioksidan serta vitamin yang baik untuk kesihatan. Selain berpotensi membantu menenangkan individu dan mengurangkan stres, teh ini juga dapat meningkatkan perkumuhan air kencing, menurunkan kadar asid urik, melindungi fungsi buah pinggang serta mengurangkan tekanan oksidatif dalam badan. Secara keseluruhannya, inovasi Calming Tea berpotensi menjadi minuman kesihatan berasaskan herba yang memberi manfaat kepada kesejahteraan mental dan fizikal masyarakat serta mempunyai potensi untuk dikomersialkan secara meluas pada masa hadapan.