YIN379: MisConFix

MUHAMMAD HAZIQ HANNAN BIN NORMAN MRSM Muadzam Shah

Penguasaan konsep dalam subjek Fizik sering menjadi cabaran kepada pelajar sekolah menengah kerana konsep yang abstrak serta memerlukan pemahaman yang mendalam. Kajian mendapati bahawa ramai pelajar melakukan kesilapan konsep yang sama secara berulang dalam peperiksaan walaupun telah mempelajari topik tersebut. Keadaan ini berlaku kerana pelajar sukar mengenal pasti kelemahan sebenar dalam pemahaman konsep serta kurang pendedahan kepada pembetulan miskonsepsi secara sistematik. Sehubungan itu, satu inovasi pembelajaran digital iaitu MisConFix - Physics Misconception Fix telah dibangunkan bagi membantu pelajar mengenal pasti, menganalisis dan membetulkan miskonsepsi dalam pembelajaran Fizik.

Aplikasi ini dibangunkan dengan memanfaatkan pendekatan pembelajaran berpusatkan pelajar (student-centred learning) serta integrasi elemen analitik pembelajaran dan cadangan pembelajaran berasaskan AI. MisConFix memberi fokus kepada Bab Daya dan Gerakan I bagi pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Aplikasi ini mengandungi beberapa komponen utama seperti bank kesilapan konsep Fizik, elemen permainan (gamifikasi), mini kuiz interaktif, cadangan topik ulang kaji secara automatik, statistik kesilapan pelajar serta laporan prestasi pelajar. Pendekatan ini membolehkan pelajar memahami sebab sesuatu jawapan itu salah, mempelajari konsep yang betul serta meningkatkan kemahiran menjawab soalan peperiksaan dengan lebih berkesan.

Bagi menilai keberkesanan inovasi ini, satu kajian kuantitatif menggunakan kaedah ujian pra dan ujian pasca telah dijalankan terhadap 20 orang pelajar. Keputusan ujian pra menunjukkan 75% pelajar memperoleh markah di bawah 7, menunjukkan tahap penguasaan konsep yang rendah. Walau bagaimanapun, selepas menggunakan aplikasi MisConFix, keputusan ujian pasca menunjukkan 90% pelajar berjaya memperoleh markah melebihi 10, sekali gus membuktikan peningkatan yang signifikan dalam pemahaman konsep Fizik.

Kesimpulannya, MisConFix berpotensi menjadi alat pembelajaran digital yang inovatif dalam membantu pelajar mengenal pasti miskonsepsi serta meningkatkan penguasaan konsep Fizik melalui pendekatan interaktif, analitik dan berfokus kepada pembetulan konsep selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21 dan pembangunan pendidikan STEM.