YIN718: HALAL MARSHMALLOW

MUHAMMAD LUTFI RAYYAN BIN IMRAN SMK DATO' AHMAD MAHER

Pada masa kini, isu status halal dalam produk makanan ringan seperti marshmallow sering menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna, khususnya masyarakat Islam. Kebanyakan marshmallow di pasaran menggunakan gelatin yang diragui sumbernya, sekali gus menimbulkan persoalan terhadap keselamatan dan kehalalannya. Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk menghasilkan Halal Marshmallow, iaitu snek makanan yang menggunakan bahan-bahan yang disahkan halal serta digabungkan dengan perisa semula jadi daripada buah-buahan. Produk ini bukan sahaja memenuhi keperluan pengguna Muslim, malah menawarkan alternatif yang lebih sihat dan selamat untuk dimakan oleh semua lapisan masyarakat. Kaedah penyediaan melibatkan penghasilan larutan gula dan gelatin halal secara berasingan sebelum dicampurkan dan diproses menggunakan pengadun sehingga mencapai tekstur yang sesuai. Campuran buah-buahan ditambah bagi meningkatkan nilai nutrisi dan rasa. Adunan kemudiannya dibiarkan mengeras sebelum dipotong dan disalut dengan gula halus bagi mengelakkan melekat. Hasil kajian menunjukkan bahawa Halal Marshmallow yang dihasilkan mempunyai tekstur yang lembut, rasa yang enak serta selamat dimakan. Selain itu, penggunaan bahan semula jadi daripada buah-buahan turut menyumbang kepada kandungan vitamin yang bermanfaat kepada kesihatan. Kesimpulannya, inovasi Halal Marshmallow ini berpotensi untuk dikomersialkan sebagai alternatif makanan ringan yang halal, berkhasiat dan memenuhi keperluan pengguna masa kini.