NUR AUFA TAHRINA BINTI ZAMRI SK KAMPUNG TUN RAZAK
ABSTRAK
Bagi mata pelajaran Pendidikan Islam sekolah rendah khususnya bidang sirah terdapat banyak fakta yang perlu difahami dan diingat bagi setiap topik. Antara fakta yang perlu diingat adalah tarikh, lokasi, individu yang terlibat, isi perjanjian dan sebagainya. Dalam kelas pengajaran sirah, didapati bahawa seramai 8 orang murid Tahun 5 Motivasi menghadapi masalah untuk mengingat fakta Sirah bagi tajuk “Hijrah Membawa Rahmah”. Kajian ini bertujuan untuk menambah baik amalan PdP dalam meningkatkan keupayaan murid mengingat fakta sirah bagi tajuk “Hijrah Membawa Rahmah” menggunakan Inovasi LaViMod iaitu gabungan Lagu, Video Animasi dan Modul Sirah. Aplikasi kecerdasan buatan yang digunakan untuk menghasilkan inovasi ini iaitu Suno AI, ChatGPT, Gemini, Veo 3, Claude dan Canva. Kajian ini dijalankan dengan menggunakan reka bentuk kajian tindakan Model Kajian Tindakan Kemmis & Mc Taggart (1988) yang melibatkan kumpulan sasaran seramai 8 orang murid tahun 5 Motivasi SK Kampung Tun Razak pada tahun 2026. Data yang dikumpulkan dalam kajian ini menggunakan kaedah pemerhatian, temu bual dan ujian diganostik yang dianalisis secara deskriptif berbentuk naratif. Dapatan kajian mendapati aktiviti yang telah dirancang dalam kajian ini dapat meningkatkan keupayaan murid mengingat fakta Sirah bagi tajuk “Hijrah Membawa Rahmah” dan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Kajian ini juga dapat membantu kami memahami proses pelaksanaan kajian tindakan secara keseluruhannya.