MOHAMAD NOR AFFANDY BIN MOHAMAD NOR Kolej Vokasional Klang
Projek pembangunan monumen beserta pembelajaran kemahiran mengikat bata ini dilaksanakan di Bengkel Teknologi Pembinaan, Kolej Vokasional Klang sebagai satu inisiatif untuk memperingati pencapaian cemerlang pelajar dalam pertandingan kemahiran bricklaying di Peringkat Zon, Kebangsaan dan WorldSkills Malaysia Belia (WSMB) dari tahun 2023 hingga 2025. Projek ini bertitik tolak daripada ketiadaan simbol fizikal yang mewakili kejayaan pelajar serta kekurangan sumber rujukan khusus berkaitan kaedah mengikat bata mengikut standard pertandingan kemahiran. Tujuan utama projek ini adalah untuk menjadi simbol penghargaan kepada pelajar, memberi motivasi kepada warga kolej serta menyediakan bahan rujukan pembelajaran yang berkesan kepada pelajar Program Teknologi Pembinaan. Pelaksanaan projek melibatkan proses mengenal pasti spesifikasi dan bahan binaan monumen, mereka bentuk monumen menggunakan perisian AutoCAD, serta membangunkan monumen menggunakan bata kejuruteraan, interlocking brick dan lightweight block. Proses pembinaan turut didokumentasikan dalam bentuk video pembelajaran sebagai bahan bantu mengajar. Diharapkan pembangunan monumen ini dapat meningkatkan kefahaman pelajar terhadap teknik mengikat bata mengikut standard pertandingan, menjadi medium pembelajaran berasaskan projek (PBL) yang efektif, serta berfungsi sebagai legasi inspirasi dan simbol kecemerlangan Program Teknologi Pembinaan Kolej Vokasional Klang.