MUHAMMAD RIZQI BIN RUDI SJKT MASAI
Inovasi Digital Add-Venture dibangunkan untuk meningkatkan penguasaan operasi tambah dalam lingkungan 10 dalam kalangan murid berkeperluan pendidikan khas yang terdiri daripada murid autism, disleksia dan bermasalah pertuturan. Kajian ini dilaksanakan berikutan pemerhatian awal yang mendapati murid gagal menguasai konsep tambah menggunakan kaedah tradisional seperti pembilang dan lembaran kerja. Masalah ini berpunca daripada kekurangan fokus, kurang minat, serta kesukaran memahami arahan bertulis. Sebagai penyelesaian, guru membangunkan satu intervensi berasaskan digital menggunakan perisian MyViewBoard yang menggabungkan tiga aspek digital dan pedagogi moden yang saling melengkapi. Pertama, aplikasi myViewBoard digunakan sebagai medium pengajaran interaktif dengan elemen lambung dadu digital, gores gambar, dan Semak jawapan. Kedua, kaedah VAKT (Visual, Auditori, Kinestetik, Taktil) diaplikasikan secara sistematik di dalam permainan butang suara bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelbagai deria murid. Ketiga, platform ClassDojo diintegrasikan sebagai sistem ganjaran positif yang secara langsung meningkatkan motivasi dan tingkah laku murid. Gabungan tiga komponen ini menjadikan Digital Add-Venture lebih menyeronokkan, bersifat gamifikasi, mesra murid, dan berbeza daripada kaedah konvensional. Pelaksanaan inovasi ini melibatkan empat minggu intervensi. Keberkesanan diukur melalui saringan sebelum dan selepas intervensi, pemerhatian tingkah laku, dan minat murid. Hasil dapatan menunjukkan 100% murid mencatat peningkatan skor. Pemerhatian mendapati tahap fokus meningkat daripada 30% kepada 80%, manakala minat menjawab soalan melonjak kepada 90%. Daripada pemerhatian, mendapati majoriti murid lebih seronok belajar melalui pendekatan digital. Keunikan Digital Add-Venture terletak pada kos rendah, mesra Murid Berkeperluan Pendidikan Khas, menyokong pembelajaran abad ke-21 (PAK21), serta mudah diadaptasi kepada operasi matematik lain mahupun pengajaran bahasa. Inovasi ini bukan sahaja meningkatkan pencapaian akademik tetapi juga mengurangkan masalah tingkah laku, menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan dan bermakna. Dengan keberkesanan yang terbukti dan potensi besar untuk diperluaskan, Digital Add-Venture selaras dengan agenda Transformasi Digital Pendidikan dan SDG 4: Pendidikan Berkualiti.
Kata kunci: 1 Digital Add-Venture, 2 operasi tambah, 3 Digital