KHAYLA BATRISYIA BINTI MOHD SHAFIQ SK BATU BERENDAM
Persoalan Kajian : Projek ini dilaksanakan bagi menyediakan satu Kit Pembelajaran Interaktif yang bertujuan meningkatkan kesedaran murid sekolah rendah tentang amalan kitar semula, khususnya dalam menangani isu lambakan sisa asahan pensel yang sering diabaikan di dalam bilik darjah. Inovasi ini dinamakan PenCoBin (Pencil Compost Bin), yang menggabungkan pendekatan eksperimen mudah dan pembelajaran berasaskan alam sekitar. Objektif utama inovasi ini adalah untuk membina kesedaran awal dalam kalangan murid tentang kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti mengkompos sisa pensel menggunakan bekas kompos khas bersama kombinasi bahan organik seperti kulit buah, hampas teh dan air. Hipotesis : Campuran 80% sisa asahan pensel dan 20% bahan kulit buah, hampas teh yang kaya dengan sumber nitrogen dan air di dalam bekas kompos PenCoBin dalam tempoh 8 hingga 10 minggu boleh menghasilkan baja kompos yang sesuai untuk tanaman sayuran jangka pendek contohnya Sawi. Methodologi : Kajian ini menggunakan pendekatan Kaedah Berlian Berganda (Double Diamond – DD) sebagai kerangka reka bentuk untuk membangunkan inovasi PenCoBin. Kit ini mengandungi bahan-bahan yang mudah diperoleh seperti botol plastik, pengasah pensel, modul mini dan lembaran aktiviti yang direka khas bagi membimbing murid menjalankan eksperimen secara sistematik dan menyeronokkan. Proses pengkomposan dijalankan dalam tempoh 8 hingga 10 minggu dengan pemantauan berkala. Hasil analisis : Hasil akhir menunjukkan bekas kompos PenCoBin berjaya mengubah campuran 80% sisa asahan pensel dan 20% bahan kulit buah dan hampas teh melalui aktiviti pengkomposan lalu menghasilkan baja kompos yang sesuai digunakan untuk tanaman sayuran jangka pendek. Kesimpulan kajian : Ini membuktikan bahawa sisa asahan pensel mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan semula, sekaligus mengurangkan pembaziran dan kesan karbon. Selain menjadi alat bantu belajar yang berkesan dalam bilik darjah, kit ini turut menggalakkan amalan 3R (Reduce, Reuse, Recycle) dan membina nilai tanggungjawab dan kecintaan terhadap alam sekitar dalam kalangan murid. Inovasi ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ke-4: Pendidikan Berkualiti, khususnya dalam menyediakan pengalaman pembelajaran yang inklusif, saksama dan berteraskan kehidupan sebenar. Diharapkan PenCoBin dapat dimanfaatkan oleh lebih banyak sekolah di seluruh negara sebagai alat pembelajaran yang menyeronokkan, berimpak tinggi dan selari dengan keperluan pendidikan abad ke-21.
Kata kunci: Baja kompos; kitar semula; Pembelajaran abad ke-21 (PAK21); Sains alam sekitar, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM); Matlamat pembangunan mampan (SDG 4).