YIN1104: PEMBANGUNAN WOODWISE SEBAGAI BAHAN BANTU BELAJAR BAGI PENGECAMAN KAYU

MUHAMMAD DARWISY BIN MURAD KOLEJ VOKASIONAL BATU PAHAT

WoodWise dibangunkan sebagai bahan bantu pembelajaran inovatif bagi pengecaman kayu untuk kegunaan pelajar dan pensyarah dalam bidang Teknologi Reka Bentuk Produk Berasaskan Kayu. Pengecaman spesies kayu merupakan aspek penting kerana setiap jenis kayu mempunyai ciri fizikal, struktur anatomi dan kegunaan yang berbeza. Justeru, WoodWise direka sebagai medium pembelajaran yang interaktif, mudah difahami dan mudah diakses di persekitaran bengkel.

Produk ini menampilkan papan paparan maklumat yang merangkumi kategori kayu, anatomi, sifat fizikal, ciri spesifik serta sampel sebenar bagi memudahkan perbandingan antara spesies. Selain itu, ia dilengkapi dengan tablet yang mengandungi kuiz interaktif serta akses kepada aplikasi Wood Wizard oleh MTIB untuk mendapatkan maklumat tambahan secara dalam talian. Reka bentuk mudah alih membolehkan penggunaan fleksibel di pelbagai lokasi pembelajaran.

Secara keseluruhannya, WoodWise berpotensi meningkatkan keberkesanan pembelajaran kendiri, memperkukuh pemahaman pelajar serta menyokong kaedah pengajaran berasaskan teknologi dalam bidang teknologi kayu.