NOR SHADRINA BINTI MOHD SHAHRIR SK SUNGAI KAPAL
Projek inovasi EcoBriq memperkenalkan sebuah produk briket arang mesra alam yang direka khusus untuk menangani pelbagai isu alam sekitar, termasuk penebangan hutan dan pelepasan karbon dioksida yang berpunca daripada penghasilan arang tradisional. Pada masa yang sama, inovasi ini bertindak sebagai penyelesaian kepada masalah lambakan sisa kertas terbuang, terutamanya di institusi pendidikan seperti sekolah.
Berasaskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim), EcoBriq dihasilkan menggunakan 90% kertas lama sebagai bahan utama.Kertas ini kemudiannya dicampurkan dengan 10% lilin parafin, air untuk menghasilkan pulpa, serta tepung bagi meningkatkan ketumpatan arang. Penghasilan blok arang ini melibatkan proses yang mudah iaitu merendam kertas menjadi pulpa, mencampur bahan-bahan sokongan, memampatkan campuran ke dalam acuan, dan akhirnya mengeringkannya di bawah cahaya matahari selama 2 hingga 3 hari.
Hasil daripada inovasi ini mendapati bahawa arang kertas EcoBriq mampu terbakar dengan lebih lama jika dibandingkan dengan arang biasa. Selain itu, ia juga terbukti dapat mengurangkan pelepasan asap dan bau. Dari sudut ekonomi, inovasi ini sangat kos efektif kerana kos penghasilannya hanyalah sekitar RM0.50 bagi setiap blok memandangkan bahan utamanya iaitu kertas boleh didapati secara percuma. Secara keseluruhannya, EcoBriq bukan sahaja berfungsi sebagai bahan bakar alternatif yang praktikal untuk memasak atau pemanasan, malah ia turut memangkin amalan kitar semula dan ekonomi sirkular ke arah masa depan yang lebih mampan.