NUR LYDIA ATHILIA BINTI MOHAMMAD RIDZUAN SMK KAMPONG SELAMAT
Penyembuhan luka secara semula jadi menggunakan tumbuhan herba tradisional menawarkan pendekatan mesra alam dan berkesan dalam bidang perubatan moden. Kajian ini membangunkan “AloeBetle Guard”, inovasi plaster antibakteria dan antiseptik berasaskan campuran ekstrak Piper betle (sireh), Aloe vera, dan madu, dengan objektif menghasilkan produk herba yang efektif menyembuhkan luka. Ujian in vitro menggunakan kultur nutrien yang mengandungi bakteria menunjukkan tiada pertumbuhan bakteria di kawasan yang diletakkan cakera ekstrak AloeBetle Guard, manakala kawasan kawalan tanpa ekstrak menunjukkan pertumbuhan bakteria aktif. Kajian kuantitatif mendapati campuran ekstrak Piper betle dan madu pada kepekatan 70% menghasilkan zon perencatan bakteria terbesar dengan diameter 23 mm, manakala kepekatan 90% menunjukkan pengurangan diameter sebanyak 4 mm. Ujian klinikal ke atas 5 murid yang mengalami luka ringan menunjukkan plaster ini mampu menyembuhkan luka 90% dalam purata masa 4-7 hari, dengan pengurangan pendarahan, pengecilan kawasan luka, dan pembentukan sel kulit baharu. Data saintifik menunjukkan Piper betle mengandungi komponen antiseptik semula jadi yang membunuh kuman, bakteria, dan kulat serta menyokong homeostasis darah, sementara Aloe vera mempercepatkan penyembuhan melalui stimulasi fibroblas dan keratinosit serta mengandungi agen antiseptik seperti lupeol, asid salisilik, dan fenol. Madu menambahkan kesan antibakteria melalui protein defensin-1, menyediakan kelembapan, serta mempercepatkan aliran nutrien ke kawasan luka. Kombinasi ini membuktikan sinergi antioksidan, antibakteria, antiseptik, antikulat, dan antiradang yang mempercepatkan penyembuhan luka. Produk ini mesra pengguna, tidak toksik, mudah didapati, kos rendah, serta menyokong matlamat Sustainable Development Goals (SDG 3: Good Health and Well-Being). Kajian ini telah mencapai objektifnya dengan membuktikan keberkesanan AloeBetle Guard dalam penyembuhan luka secara semula jadi, selamat, dan berkesan, menjadikannya alternatif kepada bahan kimia konvensional serta mempunyai potensi komersial yang tinggi.